TANGGA BATU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap gelombang sokongan pengundi Cina beralih kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan perkembangan semasa termasuk hasil kajian bebas yang menunjukkan trend sokongan masyarakat Cina semakin memihak kepada BN.
Menurutnya, BN berharap sokongan itu dapat dipertahankan dan dipertingkatkan menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
"Insya-Allah, kami mengharapkan gelombang pengundi Cina di Melaka ini akan beralih arah untuk menyokong calon-calon BN kerana tidak ada isu besar yang melibatkan mereka.
"Kita juga berharap segala kemajuan, peluang perniagaan, kedatangan pelancong ke Melaka serta peluang pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa ke negeri ini dapat memberi manfaat kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perjumpaan Khas Jentera Tangga Batu di Bilik Gerakan Pilihan Raya Parlimen Tangga Batu pada Rabu.
Ahmad Zahid turut menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai pemimpin yang tidak membezakan kaum dalam mendekati dan menyantuni masyarakat pelbagai latar belakang.
"Saya tahu Ab Rauf sangat buta warna dalam menyantuni seluruh masyarakat.
"Saya yakin kali ini masyarakat Cina akan memberikan peluang kepada beliau dan calon BN untuk diberikan mandat semula pada 14 November ini," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menerima laporan kajian bebas dalam tempoh kurang 50 jam sebelum hari pengundian yang menunjukkan trend sokongan kepada BN semakin meningkat.
"Saya berharap trend itu dapat dipertahankan dan dipertingkatkan menjelang Sabtu ini," katanya.
Mengulas sasaran peratusan keluar mengundi pada hari pengundian, beliau berharap jumlahnya lebih tinggi seperti diunjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengundi supaya mengambil kira kemungkinan hujan berikutan Monsun Timur Laut.
"Saya harap pengundi mengikuti ramalan cuaca dan keluar mengundi pada waktu yang tidak hujan.
"Jika boleh, keluarlah pada waktu pagi supaya sekiranya hujan pada tengah hari atau petang, proses mengundi sudah dapat dilaksanakan," katanya.