PRN Melaka: Calon Putra buat laporan polis, dakwa dimarahi penyokong ketika kempen

ALOR GAJAH - Calon dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan polis selepas mendakwa dimarahi secara kasar oleh seorang lelaki ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada Selasa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita itu membuat laporan berikutan bimbang terhadap keselamatan dirinya susulan kejadian berkenaan.

"Kejadian berlaku sekitar jam 6.45 petang ketika pengadu sedang menjalankan aktiviti kempen pilihan raya serta membuat pemantauan banjir di Rumah Awam Gadek.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan dua individu daripada dua parti berlainan bertengkar ketika meninjau keadaan penduduk yang terjejas akibat banjir.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek memperlihatkan persaingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Putra dan Barisan Nasional (BN).