KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini memasuki minggu kedua dengan persaingan antara blok utama semakin tertumpu kepada usaha mengukuhkan sokongan dan meraih keyakinan pengundi menjelang hari pengundian.
Perkembangan sepanjang minggu pertama kempen memperlihatkan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan awal berbanding Pakatan Harapan (PH), sekali gus meletakkan gabungan itu dalam kedudukan lebih mencabar untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Walaupun suasana kempen masih agak sejuk dan hambar, penyatuan sokongan akar umbi BN-PN, kekuatan jentera serta kecenderungan pengundi untuk mengekalkan kerajaan sedia ada memberikan kelebihan awal kepada gabungan itu.
Aktiviti kempen sepanjang minggu pertama lebih tertumpu kepada ziarah rumah ke rumah, pertemuan secara langsung antara calon dengan pengundi serta ceramah kelompok berskala kecil.
Dari sudut gerak kerja, BN dilihat mempunyai momentum lebih baik menerusi pendekatan kempen yang tersusun dan bersasar dengan tumpuan diberikan kepada usaha merayu undi serta mendekati pengundi dalam lokaliti masing-masing.
PH pula masih banyak menumpukan usaha memperkenalkan calon memandangkan sebahagian besar calon yang diketengahkan merupakan muka baharu.
Sementara itu, parti lain termasuk Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih jauh ketinggalan berbanding dua blok utama itu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, secara keseluruhan BN bersama PN dilihat lebih mendahului dari sudut momentum dan keberkesanan gerak kerja di lapangan.
Malah katanya, berdasarkan tinjauan di lapangan, sentimen paling ketara ketika ini ialah kecenderungan majoriti responden untuk mengekalkan kerajaan sedia ada.
"Belum kelihatan gelombang penolakan yang kuat atau keinginan besar dalam kalangan pengundi untuk melakukan perubahan pentadbiran negeri.
"Kerjasama BN-PN juga dilihat semakin menyatu di peringkat akar umbi. Keadaan ini memberikan kelebihan kepada BN yang bertanding di 23 kerusi apabila kecenderungan pemindahan undi daripada penyokong PN kepada calon BN semakin jelas.
"Penyatuan dua kelompok pengundi ini menjadi faktor penting yang memperkukuh kedudukan BN dalam persaingan kali ini," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, sekitar 15 peratus pengundi yang ditinjau pada minggu pertama masih belum membuat keputusan dengan kelompok terbesar dalam kategori itu terdiri daripada pengundi muda.
Justeru, walaupun kecenderungan awal memihak kepada kerajaan sedia ada, pergerakan pengundi atas pagar khususnya golongan muda masih perlu diperhatikan sepanjang minggu kedua kempen.
Tambah Hisommudin, sepanjang minggu pertama, naratif kempen BN-PN lebih tertumpu kepada penyatuan politik Melayu-Islam dan penolakan terhadap DAP.
Malah, sentimen seperti 'asalkan bukan PH' atau 'pastikan PH kalah' cukup ketara dalam kalangan pengundi Melayu yang ditemui.
Jelasnya, naratif itu dilihat berkesan dalam menyatukan sokongan penyokong BN dan PN yang sebelum ini berada dalam blok politik berbeza.
"PH pula mengambil pendekatan berbeza dengan memberikan tumpuan kepada pengenalan calon serta mengangkat isu setempat seperti banjir, kebajikan nelayan, kesesakan lalu lintas dan beberapa projek pembangunan kerajaan negeri yang dipertikaikan.
"Pendekatan ini lebih bersifat lokaliti dan bergantung kepada sejauh mana isu berkenaan dekat dengan kehidupan pengundi.
"Bersama pula banyak menumpukan siri pendedahan dan serangan politik, namun menariknya serangan mereka lebih menjurus kepada PH berbanding BN. Bersatu pula masih mencari rentak selepas perpecahan daripada PN," ujarnya.
Faktor calon
Bagaimanapun, faktor calon, populariti dan rekod perkhidmatan masih mempunyai pengaruh terutama di kawasan bandar serta dalam kalangan pengundi muda.
Di kawasan sebegini katanya, penerimaan terhadap calon boleh menjadi faktor pembeza apabila kekuatan parti agak seimbang.
Perubahan paling ketara berbanding PRN 2021 ialah struktur persaingan politik itu sendiri.
Jika dahulu pertandingan tertumpu kepada tiga blok utama iaitu BN, PH dan PN, kali ini kerjasama BN-PN telah mengubah persaingan kepada dua blok yang lebih dominan dengan PH sebagai pencabar utama.
Namun, keputusan PRN 2021 tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana perubahan komposisi pengundi, pertambahan pengundi muda serta perbezaan kadar keluar mengundi berpotensi menghasilkan pola sokongan yang berbeza.
Justeru, penilaian kali ini perlu mengambil kira realiti politik dan demografi pengundi semasa.
"Berdasarkan penilaian pusingan pertama sepanjang minggu awal kempen, gabungan BN-PN dilihat berada pada kedudukan cukup selesa dan masih belum menerima cabaran besar secara menyeluruh daripada pencabarnya," jelas Hisommudin.
Saingan
Dalam pada itu beliau berkata, persaingan masih berlaku di beberapa kerusi tertentu.
PH dilihat berpotensi memberikan saingan di Machap Jaya dan Klebang manakala kerusi dikuasai PH seperti Bukit Katil dan Ayer Keroh pula sedang menerima tekanan daripada gabungan BN-PN.
Katanya, keadaan itu menunjukkan persaingan sengit lebih tertumpu kepada kerusi tertentu dan bukannya berlaku secara menyeluruh di seluruh negeri.
Justeru, sekiranya pola sokongan minggu pertama kekal sehingga hari pengundian, BN-PN dijangka mampu memperoleh kedudukan selesa melepasi garis majoriti mudah.
Malah, gabungan itu kini boleh mula mengintai peluang mencapai majoriti dua pertiga.
"Namun, saya melihat minggu kedua kempen sebagai tempoh yang cukup penting untuk menentukan sama ada kelebihan ini dapat dipertahankan atau berlaku perubahan momentum," jelasnya.