Aduan terhadap Bersatu dibawa ke MPT selepas PRN Melaka

KOTA MELAKA - Perikatan Nasional (PN) akan meneliti dan mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan salah laku serta masalah disiplin membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berakhir.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sudah menerima aduan daripada rakan komponen berhubung beberapa isu disiplin yang didakwa melibatkan parti berkenaan.

Menurutnya, semua aduan itu akan dibawa untuk dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN bagi menentukan tindakan selanjutnya mengikut prosedur ditetapkan.

“Kita mendapat aduan daripada rakan komponen khususnya berkaitan pelbagai masalah disiplin yang dikategorikan sebagai salah laku parti berkenaan.

“Apabila ada aduan seperti itu, sudah tentu ia akan dibincangkan dalam MPT. Kita tunggu sehingga PRN selesai untuk melihat langkah seterusnya yang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Bilik Gerakan PN DUN N19 Kesidang di Malim Jaya di sini pada Ahad.

Ahmad Samsuri berkata, PN perlu bergerak berdasarkan aduan dan bukannya sentimen lain.

Ujar beliau, setiap aduan perlu disertakan bukti kukuh termasuk rakaman video, audio atau dokumen bertulis bagi membantu pihaknya membuat keputusan sewajarnya.