PRN Melaka: Ban Hong pertimbang pelawaan debat DUN Klebang

MELAKA - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong terbuka mempertimbangkan pelawaan menyertai debat bersama pesaingnya, namun berpandangan platform berkenaan bukan ukuran penilaian pengundi dalam menentukan pilihan.

Ban Hong berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang jemputan rasmi untuk menyertai sesi debat berkenaan.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyertainya sekiranya mempunyai kelapangan masa.

“Setakat ini saya belum menerima apa-apa surat jemputan untuk berdebat atau menyertai sesi berkenaan.

“Jika ada peluang dan masa, saya fikir saya akan mempertimbangkan jemputan tersebut,” katanya.

Pengerusi MCA Melaka itu berkata, selain debat, pengundi menilai seseorang calon berdasarkan rekod perkhidmatan, usaha yang telah dilaksanakan serta perancangan seseorang calon untuk kawasan yang diwakilinya.

“Penilaian yang dibuat oleh pengundi dan warga sesebuah DUN sebenarnya bukan berdasarkan kemunculan seseorang calon apabila tiba musim pilihan raya sahaja.

“Mereka juga akan menilai apa kerja yang sedang dijalankan, telah dilakukan dan bakal dilaksanakan.

Sebab itulah saya menyediakan laporan pencapaian ini kerana saya fikir ia merupakan hasil kerja bukan saya seorang, tetapi bersama warga DUN Klebang,” katanya.

Beliau berkata, setiap maklum balas dan aduan masyarakat yang diterima menerusi program turun padang, pertemuan tidak rasmi mahupun mesyuarat rasmi akan disalurkan kepada kerajaan untuk tindakan dan penambahbaikan.

Ujarnya, sebagai wakil rakyat, beliau turut membawa isu berkenaan untuk disuarakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta melalui saluran berkaitan.

Jelas beliau, pengundi juga akan melihat sejauh mana seseorang calon berinteraksi dengan masyarakat, selain sikap dan kepekaannya dalam menangani isu yang dibangkitkan sebelum ini.

“Pengundi sekarang mempunyai akses kepada pelbagai maklumat menerusi media sosial dan akhbar, jadi mereka tahu menilai calon daripada pelbagai sudut.

“Terutamanya bukan ketika pilihan raya sahaja, tetapi juga berdasarkan kerja dan interaksi calon dengan masyarakat sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi DUN Klebang, Young Jie Yu mengundang tiga calon lain di kerusi berkenaan untuk menyertai sesi dialog calon pada 6 November ini.

Dialog yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam di Pusat Kempen Bersama N14 Klebang, Jalan Mendang, itu bertujuan memberi ruang kepada setiap calon berkongsi visi parti masing-masing mengenai masa depan Melaka.

Jie Yu berkata, penganjuran dialog itu bertujuan mengalihkan perhatian daripada politik persembahan kepada perbincangan mengenai dasar awam.

PRN Melaka bagi DUN Klebang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ban Hong (BN), Jie Yu (Bersama), Farhana Hayani Mohd Nasir (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Perikatan Nasional).