PRN Melaka: Dakwaan salah guna jentera kerajaan alasan pihak terdesak - Ahmad Zahid

JASIN - Dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan oleh calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim disifatkan sebagai cubaan mencari alasan oleh pihak yang terdesak dalam menghadapi persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak melihat isu berkenaan sebagai satu masalah memandangkan parti lain juga mengadakan program yang dihadiri menteri dan timbalan menteri.

Menurutnya, semua pihak sepatutnya berkempen secara baik dan bersih serta menghormati pilihan rakyat tanpa membangkitkan perkara yang tidak sepatutnya diperbesarkan.

“Kalau sesuatu kumpulan itu berasa terdesak, mereka akan mencari pelbagai alasan dan pelbagai perkara.

"Ya, kerana mungkin mereka sangat terdesak dan saya tidak fikir itu perlu kita gembar-gemburkan,” katanya semasa sidang media sempena Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET Mara 2026 di Dewan MPJ di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan polis yang dibuat Pakatan Harapan (PH) terhadap calon BN bagi DUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar berhubung dakwaan menggunakan premis dan jentera kerajaan ketika berkempen.

Tambah Ahmad Zahid, semua calon perlu bertanding mengikut peraturan ditetapkan dalam sebuah negara demokrasi dan tidak menjadikan isu berkenaan sebagai alasan untuk mencetuskan polemik sepanjang tempoh kempen.

“Saya harap kita kempen cara baik-baik, kempen cara bersih dan rakyat telah ada pilihan masing-masing.

“Apa yang penting, 14 hari bulan nanti kita lihat mana arah sokongan yang diberikan oleh pengundi-pengundi di Melaka,” jelasnya.

Terdahulu, PH membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Isnin susulan dakwaan Khaidirah menggunakan Kompleks Japerun Rim bagi mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima sempena sambutan Deepavali.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mendakwa, bakul makanan yang diagihkan dalam program itu mempunyai label Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), selain terdapat pegawai pihak berkuasa tempatan berkenaan memakai pakaian yang memaparkan wajah Naib Ketua UMNO Jasin.

PH turut mendakwa kompleks berkenaan tidak sepatutnya digunakan bagi program berunsur politik selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Siti Aishah berkata, pihaknya menyerahkan bukti bergambar dan rakaman video kepada polis serta akan mengemukakan bukti berkaitan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Pada PRN Melaka kali ini, PH mempertaruhkan Ketua Wanita Cabang PKR Jasin Esma Eazreen Husin di DUN Rim dalam pertarungan satu lawan satu menentang Khaidirah.

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November.