'Kos sara hidup, perumahan tekan wanita B40 di Pulau Pinang' - Nor Azah

KUALA LUMPUR – Memperluas akses kepada perumahan mampu milik, memperkukuh bantuan bersasar dan memperbanyak peluang pekerjaan antara lima langkah dicadangkan bagi membantu golongan wanita berpendapatan rendah (B40) di Pulau Pinang.

Exco Pergerakan Wanita Parti Wawasan Negara, Nor Azah Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan perlu diberi perhatian bagi menangani tekanan kos sara hidup dan perumahan yang terus membebankan golongan berpendapatan rendah, khususnya wanita.

Menurutnya, dua lagi langkah yang perlu diberi keutamaan ialah menyediakan kemudahan penjagaan anak berkualiti pada kadar mampu milik serta melaksanakan pembangunan negeri yang lebih inklusif.

Beliau berkata, pembangunan pesat Pulau Pinang perlu disertai dasar yang mengambil kira kemampuan penduduk tempatan untuk terus tinggal, bekerja dan membina keluarga di negeri itu.

“Isu pendapatan, kos sara hidup, perumahan mampu milik dan pemerkasaan ekonomi wanita perlu ditangani secara bersama melalui dasar yang praktikal, bersasar dan berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Nor Azah berkata, tekanan kewangan yang dihadapi golongan B40 turut digambarkan menerusi laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI), yang menunjukkan baki pendapatan isi rumah dalam kumpulan 10 peratus terbawah selepas perbelanjaan penggunaan merosot daripada 10.8 peratus pada 2019 kepada hanya 1.8 peratus pada 2024.

Pada masa sama, perbelanjaan median isi rumah meningkat kepada RM4,758 sebulan pada 2024, sekali gus menunjukkan cabaran yang dihadapi rakyat dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Katanya, golongan B40 perlu menggunakan pendapatan terhad untuk menampung pelbagai keperluan termasuk sewa rumah, makanan, pengangkutan, pendidikan anak-anak dan perbelanjaan harian.

“Apabila harga rumah semakin sukar dicapai dan kos sewa terus meningkat, memiliki kediaman sendiri menjadi impian yang semakin jauh bagi sebahagian keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu memberi cabaran lebih besar kepada wanita B40, terutama mereka yang menjadi penyumbang utama pendapatan keluarga, ibu tunggal dan pekerja dalam sektor bergaji rendah.

Menurutnya, wanita dalam kumpulan berkenaan bukan sahaja perlu memastikan keperluan kewangan keluarga dipenuhi, malah perlu mengimbangi tanggungjawab pekerjaan, urusan rumah tangga dan penjagaan anak-anak.

Katanya, kos penjagaan anak yang tinggi turut mengehadkan peluang wanita untuk bekerja atau kembali ke alam pekerjaan, sekali gus menyukarkan mereka meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf hidup keluarga.

Nor Azah berkata, keadaan itu juga boleh menjejaskan kemampuan golongan berkenaan membina simpanan serta mendapatkan peluang meningkatkan kemahiran bagi memperkukuh kedudukan ekonomi masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha menangani tekanan kos sara hidup perlu dilaksanakan seiring dengan penyediaan perumahan mampu milik dan peluang ekonomi yang lebih baik supaya wanita B40 tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.