KUALA LUMPUR – Kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) menjadi perhatian susulan kemelut yang melanda gabungan itu.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu menjadi persoalan ekoran perkembangan yang berlaku sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Ogos lalu.
“Dengan apa yang berlaku semenjak akhir-akhir ni, sejak PRN Negeri Sembilan, ada hati lagi ke (Bersatu) dengan Perikatan Nasional ni?” katanya ketika tiba bagi menghadiri Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung Pas di sini pada malam Ahad.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN berkenaan susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Selasa lalu.
Katanya, perintah penggantungan pelaksanaan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran PN.
Sebelum itu, PN dilapor mengajak Bersatu bersemuka dalam mesyuarat tergempar berkenaan.
Mesyuarat atas arahan Ahmad Samsuri itu turut mengundang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencari kata sepakat berhubung kemelut dalaman gabungan berkenaan.
Pertemuan tersebut diadakan selepas Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober menangguhkan pelaksanaan pembatalan pendaftaran PN sementara menunggu keputusan semakan kehakiman, dengan persiapan PRN Melaka turut menjadi agenda.
Ketika diminta mengulas pendirian Bersatu bahawa mesyuarat tergempar PN tidak boleh diadakan, Ahmad Samsuri hanya menjawab ringkas.
“Kita dah jemput Bersatu untuk datang mesyuarat (dan mengenai dakwaan mesyuarat tak boleh diadakan pula) itu pandangan merekalah,” katanya.