'Perintah mahkamah benarkan PN terus beroperasi seperti biasa' - Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai gabungan politik yang boleh beroperasi seperti biasa susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pelaksanaan penggantungan dan pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perintah mahkamah bertarikh 22 Oktober lalu masih berkuat kuasa meskipun RoS dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Katanya, pemfailan notis rayuan tidak secara automatik menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi, sekali gus membolehkan PN meneruskan urusan termasuk mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertingginya pada malam Ahad.

“Notis rayuan yang tuan rujuk tidak mengubah kedudukan itu. Seperti yang dinasihati oleh Panel Peguam PN, Kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 memperuntukkan bahawa sesuatu rayuan tidak beroperasi sebagai penangguhan pelaksanaan keputusan yang dirayu melainkan jika mahkamah memerintahkan sedemikian.

“Tiada perintah sedemikian dibuat. Status quo yang tuan sebut bukanlah keputusan pendaftar pertubuhan, ia adalah perintah Mahkamah Tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sepucuk surat bagi menjawab surat Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung keabsahan mesyuarat tergempar PN.

Terdahulu, Mohamed Azmin membangkitkan kebimbangan mengenai implikasi perundangan terhadap perjalanan mesyuarat serta sebarang keputusan yang dibuat susulan tindakan RoS membatalkan pendaftaran gabungan berkenaan.

Katanya, perintah penggantungan pelaksanaan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran PN.

Mengulas lanjut, Takiyuddin menjelaskan, perintah Mahkamah Tinggi bukan sahaja menangguhkan pelaksanaan penggantungan PN bertarikh 23 September lalu, malah turut menangguhkan prosiding lanjut di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.

Ujarnya, perintah itu juga menghalang RoS daripada membatalkan pendaftaran PN atau memberikan kesan kepada sebarang pembatalan sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan.

“Kesan perintah mahkamah adalah perkara jelas iaitu Notis, Perintah Penggantungan dan Perintah Pembatalan tersebut kesemuanya digantung atas perintah mahkamah.

“Atas sebab dan dasar berkenaan, PN merupakan satu perikatan atau parti politik yang berfungsi seperti biasa,” katanya.

Justeru,Takiyuddin turut menegaskan, jemputan kepada wakil Bersatu untuk menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN masih kekal dan mereka bebas untuk hadir, memberikan pandangan serta mengundi.

Menurutnya, sekiranya wakil Bersatu memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat berkenaan, keputusan itu merupakan pilihan parti tersebut dan akan direkodkan sedemikian.

Dalam surat sama, beliau turut meminta Bersatu mengemukakan dalam tempoh tiga hari salinan surat RoS bertarikh 12 Ogos 2026 yang didakwa mengesahkan kedudukannya sebagai parti anggota PN yang sah, selain salinan aduan Bersatu kepada RoS berserta lampirannya.

Kata beliau, sebarang langkah mana-mana pihak yang bertujuan menghalang atau mengekang pelaksanaan perintah mahkamah akan dibawa kepada perhatian mahkamah.