SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa dinafikan hak untuk terlibat dalam perbincangan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu masih merupakan anggota PN yang sah, namun tidak dilibatkan dalam rundingan berkenaan setakat ini.
"Bersatu adalah parti anggota PN yang sah tetapi sehingga hari ini dinafikan hak Bersatu untuk dilibatkan dalam perbincangan mengenai PRN Melaka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sebelum ini, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pengumuman calon bagi PRN Melaka akan dibuat Sabtu ini selepas perkembangan berkaitan isu PN menyusul daripada prosiding mahkamah.
Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, Bersatu kini memberi tumpuan kepada beberapa kerusi yang dikenal pasti berpotensi untuk ditandingi, termasuk dua kerusi yang disandang parti itu iaitu Bemban dan Sungai Udang.
"Bersatu sedang beri tumpuan kepada beberapa kerusi yang berpotensi termasuk dua kerusi yang disandang iaitu Bemban dan Sungai Udang.
"Keputusan muktamad pada hujung minggu ini," katanya.
Mengulas dakwaan Bersatu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka, beliau menegaskan belum ada sebarang keputusan dibuat.
"Tidak ada sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak yang telah diputuskan," ujarnya.