BN-Pas kompromi dua, tiga kerusi - Penganalisis

SHAH ALAM - Rundingan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka menyaksikan kompromi sekitar dua hingga tiga kerusi, ketika BN berdepan dilema mempertahankan penguasaannya tanpa menjejaskan peluang kerjasama dengan parti itu.

Kedudukan gabungan pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai penyandang yang memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN 2021, menyebabkan ruang untuk memberi laluan kepada rakan kerjasama menjadi lebih terhad.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berpandangan, percaturan yang masih belum dimuktamadkan itu dijangka tertumpu kepada pembahagian kerusi serta penggunaan logo dengan beberapa kawasan berpotensi dikompromikan bagi mengelak pertembungan sesama parti.

Menurutnya, laporan awal menyebut empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diberikan kepada Pas iaitu Bemban, Bukit Katil, Paya Rumput dan Ayer Keroh.

"Bemban dimenangi PN (Perikatan Nasional) pada 2021, Bukit Katil dan Ayer Keroh dimenangi Pakatan Harapan (PH) manakala Paya Rumput milik BN. Jika laporan itu tepat, kompromi kerusi penyandang BN terhad.

"Ini jangkaan saya, (rundingan) sekitar dua hingga tiga kerusi, termasuk (DUN) Paya Rumput dan Merlimau jika kedua-dua laporan tepat. (Datuk Seri) Ab Rauf (Pengerusi BN Melaka) pula menyasarkan lebih 25 kerusi yang bermakna BN menjangkakan rakan kerjasama turut menang.

"Perkara ini juga masih jangkaan berdasarkan perkembangan semasa dan bukan keputusan rasmi," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilapor mengesahkan gabungan itu akan bertanding lebih empat kerusi dalam pilihan raya berkenaan.

Malah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut memaklumkan, Perikatan Nasional (PN) dan UMNO sudah mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi serta merangka asas kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

Menjelang penamaan calon pada 31 Oktober ini, bentuk kerjasama BN-Pas dijangka menjadi antara tumpuan selepas beberapa pemimpin parti memberi bayangan bahawa rundingan sedang menuju ke arah persetujuan.

Antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang dilapor berkata, hasil rundingan UMNO-Pas akan diumumkan pada hari pengumuman calon.

**media[3683305]**

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menyatakan persetujuan asas telah dicapai, namun jumlah kerusi dan calon masih menjadi perkara perlu diselesaikan.

Justeru Muhammad Afifi menjelaskan, pendekatan di Negeri Sembilan tidak semestinya dapat diterjemahkan di Melaka kerana kedudukan BN berbeza, selain parti-parti terlibat mempunyai sasaran kerusi masing-masing.

"Di Melaka, BN penyandang dan mempertahankan 21 kerusi, dengan tujuh DUN dalam rundingan termasuk pertukaran kerusi.

"Ruang untuk rakan kerjasama sempit, jadi rundingan tertumpu pada pertukaran kerusi dan logo. PN pula masih menunggu keputusan mahkamah berhubung status pendaftaran logo," ujarnya.

Rundingan

Selain bentuk kerjasama, kedudukan beberapa penyandang turut menjadi perhatian apabila timbul desas-desus mengenai perubahan calon dan pembahagian kerusi.

Jika sebelum ini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membayangkan kemungkinan bertanding di kerusi lain dengan Merlimau diserahkan kepada Pas selain penyandang Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem pula dikatakan akan digugurkan, perkara itu belum disahkan secara rasmi.

Muhammad Afifi berkata, kedudukan kedua-dua kerusi itu perlu dilihat dalam konteks rundingan keseluruhan dan tidak boleh dianggap sebagai petunjuk bahawa penyandang terbabit pasti tidak akan dicalonkan semula.

Bagaimanapun menurutnya, rundingan BN-Pas bukan sahaja bergantung kepada persetujuan kedua-dua parti, malah turut berdepan cabaran daripada sasaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pendirian PH.

"Bersatu Melaka mahu mempertahankan kerusi Bemban dan Sungai Udang, selain menyasarkan pertandingan sehingga 10 kerusi.

"Hasrat itu berpotensi mencetuskan pertindihan sekiranya kawasan berkenaan turut menjadi sasaran dalam rundingan BN-Pas.

"PH menyatakan hasrat bertanding secara solo dan belum capai persetujuan konkrit dengan parti lain. PKR pula diperuntukkan sembilan kerusi, manakala PH dijangka tanding lebih 20 kerusi," katanya.