PRN Melaka: Formula sama seperti NS - Razlan

SHAH ALAM - Hasil rundingan kerjasama politik antara UMNO dan Pas bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan dibentangkan pada hari pengumuman calon.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, setakat ini hasil perbincangan kedua-dua parti itu positif.

“Keputusan itu saya pun tak tahu sebab ia akan dibentangkan masa pengumuman nanti tapi semua positif.

“Insya-ALLAH formula yang sama akan digunakan seperti di Negeri Sembilan (NS). Kali ini lebih jelas untuk memberikan keyakinan kepada pengundi gelombang biru,” ujarnya kepada Sinar Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan hari mengundi bagi PRN Melaka, manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon.

Setakat Jumaat, PKR bakal bertanding sembilan kerusi dan pada 24 Oktober depan, parti-parti lain dalam Pakatan Harapan akan mengumumkan senarai calon.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan berlaku rundingan dan perbincangan dengan Pas termasuk berhubung penggunaan lambang BN dalam PRN Melaka.

Mengenai rundingan antara UMNO dan PH pula, Mohd Razlan berkata, perkara itu tidak berlaku.

“No more PH,” ujar beliau.