PRN Melaka: Agihan kerusi PN hampir selesai, calon Pas tunggu kelulusan Majlis Syura Ulama

CYBERJAYA - Rundingan agihan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini di peringkat akhir, namun beberapa perbincangan masih berlangsung menjelang pengumuman calon.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga sudah menyiapkan senarai calon yang akan dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan Majlis Syura Ulama.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas mahupun senarai calon yang akan dipertaruhkan pada PRN berkenaan.

Menurutnya, rundingan berkaitan agihan kerusi masih boleh diteruskan sehingga sehari sebelum pengumuman calon, berdasarkan kebiasaan proses berkenaan.

“Jumlah kerusi itu maksud sudah di peringkat akhir. Masih ada lagi perbincangan. Masih ada lagi yang berlaku sehingga dekat hendak pengumuman calon.

“Sehari sebelum itu biasanya kita masih ada perbincangan sebelum pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tafsir Al-Tibyan anjuran Yayasan Permata Ummah (YPU) di Cyber Event Hall di sini pada Sabtu.

Mengulas persiapan Pas menghadapi PRN Melaka, Abdul Hadi berkata, parti itu sudah menyediakan senarai calon untuk dipertimbangkan, namun keputusan akhir masih tertakluk kepada kelulusan Majlis Syura Ulama.

Beliau berkata, senarai berkenaan perlu melalui proses kelulusan sebelum calon yang akan bertanding dimuktamadkan.

Perkembangan itu menyaksikan penentuan calon Pas dan pemuktamadan agihan kerusi PN masih menjadi antara perkara yang perlu diselesaikan sebelum senarai calon diumumkan secara rasmi.