PRN Melaka: PKR tawar calon berpengalaman, muda dan wanita - Amirudin

KUALA LUMPUR - PKR akan mempertaruhkan calon lama dan berpengalaman, golongan muda serta wanita daripada pelbagai kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November depan.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, calon yang akan ditawarkan parti berkenaan ialah mereka yang berupaya untuk berbakti kepada masyarakat serta mempunyai faktor tertentu dalam memberikan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi.

"Di sesetengah kawasan DUN yang kita mempunyai asas sokongan agak rendah, kita akan berikan peluang kepada calon-calon supaya mereka menimba pengalaman, ini antara pelan jangka panjang kepada parti dan PH (Pakatan Harapan),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Semarak Kasih bersama pelajar Yayasan Selangor di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai kerjasama dengan parti lain, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, perkara itu akan diputuskan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding sembilan kerusi pada PRN Melaka, dengan senarai calon parti itu akan diumumkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan pada 24 Oktober ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka, dengan 10 November sebagai hari undi awal, manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan pada PRN lepas Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi, PH dengan lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Dalam perkembangan berasingan, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menafikan sebarang penglibatan PKR atau serangan terancang bermotifkan politik berkaitan kes khalwat melibatkan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat melibatkan seorang pemimpin politik di sekitar daerah Petaling pada jam 6 petang, 15 Oktober lepas. - Bernama