MELAKA - Parti Amanah Negara (Amanah) terbuka untuk mencari rakan sekutu bagi membentuk kerajaan yang stabil di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Setiausaha Agungnya Muhammad Faiz Fadzil.
Beliau berkata, pendirian Amanah untuk PRN Melaka, bergantung kepada rakan yang boleh bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil dan keputusan mengenainya dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Muhammad Faiz berkata, kemungkinan Pakatan Harapan (PH) bergerak solo juga masih terbuka, namun Amanah berpandangan kerjasama dengan rakan sekutu yang mempunyai matlamat sama, untuk membentuk kerajaan stabil merupakan satu pilihan yang boleh dipertimbangkan.
"Amanah berpandangan berpadu dengan rakan sekutu yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil di Melaka ini lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas Program Sesi Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan Kawasan Telok Mas di Pangkalan Nelayan Tanjong Nibong, di sini hari ini.
Muhammad Faiz berkata, sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama itu akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH, manakala pihaknya telah berhubung dengan pelbagai parti dan masih mempunyai masa untuk menentukan rakan yang sesuai.
Dalam PRN yang diadakan pada 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (lima kerusi) dan Perikatan Nasional (dua kerusi). - Bernama