KUALA TERENGGANU – Bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris mengingatkan bahawa sumpah dan baiah yang dilafazkan oleh ahli parti menetapkan kewajipan untuk mematuhi arahan parti selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu menerusi media sosial sebagai respons terhadap peringatan yang dikemukakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berhubung ikrar dan baiah ahli yang berniat meninggalkan parti atau mengubah haluan politik.
Menurut Razali, perkara asas yang perlu dirujuk dalam sumpah dan baiah tersebut ialah komitmen terhadap Perlembagaan parti, dasar perjuangan serta kepatuhan kepada arahan parti yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
“Sepatutnya Ketua Penerangan parti menyatakan sepenuhnya perkara nombor satu iaitu patuh kepada arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
“Saya bersumpah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk patuh kepada Perlembagaan parti serta dasar-dasar perjuangannya dan patuh kepada arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.
Dalam hantaran sama, beliau turut membangkitkan situasi yang sedang berlaku di Perlis dan meminta perkara tersebut dilihat dalam kerangka sumpah serta baiah yang pernah dilafazkan oleh ahli parti.
“Patuh arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Contohnya apa yang berlaku di Perlis?” soalnya.
Sebelum ini, Tun Faisal mengingatkan semua ahli agar mengingati semula lafaz sumpah dan baiah yang pernah dimeterai ketika menyertai parti.
Menurut beliau, baiah tersebut mengandungi tiga ketetapan utama termasuk kewajipan mematuhi Perlembagaan dan arahan parti, implikasi sekiranya keluar atau bertukar parti, serta syarat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat atau pembayaran denda RM10 juta sekiranya meninggalkan parti atau dipecat.
Isu kedudukan dan masa depan beberapa pemimpin serta ahli Bersatu terus menjadi perhatian dalam perkembangan politik semasa.
Terdahulu, Razali menerusi satu hantaran di media sosial pada Rabu memberikan bayangan bahawa beliau bakal meninggalkan Bersatu selepas menerajui kepimpinan parti itu di Terengganu selama kira-kira 10 tahun.
Bagaimanapun, beliau belum mendedahkan secara terperinci hala tuju politiknya selepas ini dan hanya menyatakan hasrat untuk meneruskan perjuangan melalui wadah baharu.
Perkembangan itu mengundang pelbagai spekulasi, terutama selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu pada Ogos lalu.