PRN Melaka: Jangan hanya bertahan, jawab serangan lawan - Ahmad Maslan

ALOR GAJAH – Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu lebih aktif di media sosial dan bertindak pantas menjawab setiap naratif yang dibawa pihak lawan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan sebarang serangan atau persepsi negatif yang tersebar di media sosial tidak dibiarkan tanpa jawapan sehingga menjejaskan kempen BN.

“Yang penting dalam media sosial ini, kita perlu menjawab semula. Apabila pihak lawan membina sesuatu naratif, kita mesti segera memberikan penjelasan dan jawapan.

“Kita tidak boleh hanya bertahan. Kita perlu menjawab dan menyerang balas dengan fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO berkata, strategi memperkukuh kehadiran digital telah digerakkan lebih awal menerusi pasukan media sosial di bawah Penerangan UMNO dan War Room parti.

“Di bawah War Room, kita ada bahagian Penerangan. Di bawah Penerangan pula terdapat pasukan media sosial dan mereka telah diaktifkan lebih awal.

“Selepas Johor, kita beralih ke Negeri Sembilan dan kini ke Melaka. Pasukan tertentu telah digerakkan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan platform media sosial perlu diberikan perhatian serius oleh semua pimpinan dan calon UMNO, khususnya TikTok dan Threads yang kini semakin popular dalam kalangan pengundi muda.

Aktiviti media sosial boleh jadi pertimbangan calon

Ahmad berkata, keupayaan seseorang calon mengendalikan media sosial secara berkesan juga boleh dijadikan antara pertimbangan dalam proses pemilihan calon.

Menurutnya, aspek tersebut boleh melengkapi kriteria WALI yang merangkumi Winnable (boleh menang), Acceptable (boleh diterima), Likeable (disenangi) dan Integrity (berintegriti).

“Aktif dalam media sosial juga boleh menjadi salah satu faktor yang dipertimbangkan selain kriteria WALI.

“Saya berharap bakal calon mempunyai kebolehan seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang sangat baik dalam mengolah kandungan media sosial.

“Beliau merupakan ikon media sosial dalam kalangan ahli politik di Malaysia,” katanya.