MELAKA - Rundingan Barisan Nasional (BN) Melaka dengan parti-parti politik bagi menentukan rakan strategik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditunda ke minggu depan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penundaan itu dibuat bagi mendapatkan tarikh yang bersesuaian dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Menurutnya, hasil rundingan itu kemudiannya akan dibawa melalui saluran parti untuk diperincikan sebelum keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
"Perundingan bukan ditangguhkan tetapi ditunda pada satu tarikh yang lebih sesuai.
“Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pun dah buat kenyataan rasmi akan menjemput mana-mana parti untuk datang berunding BN Melaka.
“Insya-ALLAH akan diselesaikan dalam masa yang terdekat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka bagi persediaan menghadapi PRN di Seri Bendahara di sini pada Rabu.
Sabtu lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan BN akan mengadakan dua perjumpaan berasingan dengan dua kumpulan berbeza minggu ini bagi membincangkan kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahmad Zahid pada Program Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu di MITC memaklumkan kedua-dua pertemuan itu telah diatur oleh Ibu Pejabat BN pada tarikh dan waktu berbeza.
**media[3664062]**
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, penilaian akan dibuat berdasarkan sama ada kerjasama berkenaan membawa lebih banyak manfaat atau mudarat kepada parti.
“Jadi saya tak menjurus kepada mana-mana gabungan untuk menjadi rakan strategik, tapi akhirnya nanti menjurus kepada penilaian dan kajian yang mendalam.
"Maka keputusan akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO," katanya.
Sementara itu, mengulas pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) yang sebelum ini menyatakan tidak akan bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka, Ab Rauf berkata, perkara itu merupakan hak gabungan berkenaan.
"Itu hak masing-masing. Tapi kita menjalankan keterbukaan ini bagi meraikan demokrasi, pentas demokrasi Malaysia ini seperti mana yang dijanjikan.
"Hak siapa-siapa nak bersama, tak bersama. Kalau kita jemput dia tak nak datang, tak apa. Kalau jemput dia datang, kita berunding," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang dilaporkan berkata PH tidak akan menerima tawaran kerjasama daripada BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Jelas Ab Rauf, kenyataan awal PH itu bukan penanda aras kepada BN kerana keputusan muktamad mengenai kerjasama politik perlu mengambil kira keputusan Majlis Presiden PH.
"Itu saya tak ambil sebagai penanda aras sebab yang penting daripada keputusan Majlis Presiden PH. Kalau Majlis Presiden kata tak nak, tak apa.
"Kita tak nak dikata hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong, Tapi saya mengambil satu penjelasan daripada jemputan yang dibuat oleh Setiausaha Agung tanpa prasangka.
"Kita tunggu selepas jemputan rasmi ini dibuat, sama ada perbincangan ini boleh dijalankan ataupun keputusan untuk bersama ini boleh diteruskan ataupun tidak. Terserah kepada mana-mana pihak untuk bersama-sama dengan kita,” katanya.