Logo dacing atau bulan jadi pilihan PN?

SHAH ALAM - Penggunaan logo Pas dilihat sebagai pilihan lebih mudah bagi Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya logo gabungan itu tidak dapat digunakan.

Bagaimanapun jika logo Barisan Nasional (BN) pula menjadi pilihan, ia boleh mencetuskan perkembangan luar biasa dalam landskap politik negara.

Penganalisis politik, Mujibu Abdul Muis berkata, penggunaan logo Pas merupakan pilihan yang lebih mudah dari sudut kesinambungan identiti PN kerana merupakan parti komponen yang mempunyai jentera dan struktur organisasi tersendiri.

Menurutnya, bagaimanapun cabarannya adalah logo Pas membawa identiti politik yang lebih khusus, sedangkan PN selama ini cuba membina imej sebagai gabungan yang lebih luas.

“Di Melaka, penerimaan pengundi terhadap sesuatu logo juga perlu dinilai berdasarkan komposisi demografi, kekuatan calon dan isu setempat, bukan semata-mata sentimen politik nasional.

“Jika Pas atau parti-parti dalam PN menggunakan logo BN pula, ia sememangnya satu perkembangan luar biasa dalam sejarah politik negara. Dari sudut simbolik, ia boleh ditafsirkan sebagai langkah besar ke arah penyatuan politik Melayu dan kerjasama yang lebih pragmatik antara dua blok yang pernah bersaing," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu penjelasan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung penggantungan gabungan itu dan bersedia menggunakan logo parti komponen masing-masing sekiranya penggunaan logo PN tidak dibenarkan.

Takiyuddin berkata, gabungan itu bersedia menggunakan logo parti termasuk lambang dacing atau mana-mana lambang lain yang bersesuaian untuk menghadapi PRN Melaka sekiranya keadaan memerlukan.

**media[3663884]**

Mengulas lanjut, Mujibu berpandangan, penggunaan logo yang sama tidak semestinya bermaksud penyatuan organisasi atau pembentukan gabungan politik secara rasmi.

“Ia perlu dilihat sebagai satu bentuk persefahaman pilihan raya yang masih bergantung kepada persetujuan kepimpinan dan penerimaan akar umbi,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Mujibu mengingatkan BN juga perlu berhati-hati kerana logo dacing mempunyai nilai sejarah dan identiti tersendiri.

“Jika penggunaannya diperluas kepada parti lain, BN perlu memastikan kerjasama itu benar-benar memberi manfaat kepada kedudukan politiknya, bukannya sekadar meminjamkan jenama tanpa pulangan strategik yang jelas,” kongsinya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, sentimen Islam sememangnya boleh menjadi faktor mobilisasi pengundi, namun ia tidak menjadikan logo dan identiti parti tidak relevan.

“Dalam pilihan raya, logo berfungsi sebagai isyarat politik yang membantu pengundi mengenali parti, memahami pendirian dan mengaitkan calon dengan rekod serta imej organisasi tertentu.

“Kita perlu membezakan antara sokongan terhadap agenda Islam dengan kesediaan mengundi parti yang membawa agenda tersebut. Pengundi tidak membuat keputusan berdasarkan satu faktor sahaja," katanya.

Mujibu menjelaskan, pengundi turut mempertimbangkan calon, prestasi wakil rakyat, isu ekonomi, kos sara hidup, pembangunan setempat dan kemampuan parti membentuk kerajaan yang stabil.

“Dalam konteks Melaka, cabaran Pas bukan sekadar menggerakkan sentimen pengundi Melayu-Islam, tetapi bagaimana memperluas penerimaan dalam kalangan pengundi yang lebih pelbagai.

“Begitu juga bagi BN, kekuatan jenama dacing perlu diterjemahkan kepada keyakinan pengundi terhadap calon dan tawaran politiknya," ujarnya lagi.

Justeru menurut beliau, sentimen boleh menggerakkan sokongan, tetapi jenama politik membantu membentuk keyakinan dan pilihan pengundi.

“Logo mungkin bukan penentu tunggal kemenangan, tetapi dalam persaingan pilihan raya yang kompetitif, ia tetap mempunyai nilai strategik,” tambahnya.