MELAKA - Prinsip keadilan perlu terus menjadi asas perjuangan PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Majlis Penasihat parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata, perjuangan parti itu bukan semata-mata untuk meraih kuasa, sebaliknya memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat keadilan yang sewajarnya.
"Kita mahukan setiap rakyat Malaysia mendapat keadilan. Itu kita bawa dalam parti kita, dalam semangat kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis apresiasi Wanita PKR Melaka dan pelancaran jentera wanita PKR di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Ketua Wanita PKR Melaka, Mahani Masban.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, anggota PKR perlu terus berpegang teguh kepada prinsip berkenaan walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk tindakan segelintir anggota yang meninggalkan parti itu.
Beliau berkata pengalaman panjang perjuangan PKR membuktikan bahawa sesuatu perubahan tidak berlaku dengan mudah, sebaliknya memerlukan usaha berterusan dan kesungguhan anggota parti.
Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyeru Wanita PKR Melaka memainkan peranan penting dalam meraih sokongan pengundi serta memastikan semangat perjuangan parti terus diperkukuh di peringkat akar umbi.
Beliau turut berharap Wanita PKR diberikan ruang sebagai calon pada PRN itu dengan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan calon.
Sementara itu, Azman berkata PKR mampu membuat kejutan di Melaka sekiranya parti itu mempunyai jentera yang berdisiplin, terlatih dan komited.
Beliau berkata jentera parti itu perlu berusaha lebih kuat memandangkan PKR tidak mempunyai sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri di Melaka ketika ini. - Bernama