Ahmad Zahid adakan pertemuan dengan 25 ADUN Negeri Sembilan malam ini

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan bersama 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan malam ini.

Menurutnya, pertemuan itu akan melibatkan semua ADUN BN selain wakil rakyat Pas dan Wawasan bagi menyelaras langkah seterusnya dalam mencari penyelesaian terbaik di peringkat negeri.

“Malam ini saya akan mengadakan mesyuarat bersama seluruh 25 ADUN BN, Pas dan Wawasan di bangunan ini.

“Saya mahu mengkoordinasi dan tidak berhajat untuk campur tangan, tetapi mahu mencari jalan terbaik...,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, beberapa pilihan akan dibincangkan dalam pertemuan itu sebelum satu penyelesaian diputuskan dengan mengambil kira ketetapan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, beliau memberikan mandat kepada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim untuk mencari penyelesaian terbaik, termasuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta pihak lain dalam hierarki adat negeri.

“Saya memberikan mandat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mencari penyelesaian terbaik… yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan disantuni.

“Apa yang sedang dan telah berlaku, kita cari jalan yang baik di peringkat negeri. Kita tidak mahu keadaan semakin keruh,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, langkah itu penting susulan penamatan tempoh 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah diwartakan, menyebabkan hanya Menteri Besar berada secara rasmi dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Tambahnya, beberapa langkah sedang dilakukan bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan terus berjalan lancar.

Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa 20 September lalu selepas mereka didapati melanggar ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. - Awani