PENGGANTUNGAN semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) ketika Melaka memasuki pilihan raya mencetuskan dua persoalan besar - adakah tindakan itu semata-mata berkaitan pematuhan aturan pertubuhan atau mempunyai unsur tekanan politik, dan mampukah PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jika tidak dapat menggunakan nama serta logonya?
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa penggantungan itu mungkin berpunca daripada agenda berniat jahat atau mala fide serta tekanan politik daripada pihak dalam dan luar gabungan berkenaan.
Beliau berkata, PN tidak bersetuju dengan asas keputusan RoS dan sedang mengambil langkah segera menerusi saluran undang-undang yang tersedia bagi mempertahankan kedudukan gabungan itu.
RoS bagaimanapun menegaskan pendaftaran PN belum dibatalkan.
Menurut jabatan itu, notis berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan daripada PN berhubung aduan dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala penggantungan dibuat bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melakukan pelanggaran terhadap aturannya sementara proses berkaitan berjalan.
PN pula diberikan tempoh untuk mengemukakan penjelasan sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai pendaftarannya dibuat.
Aduan Bersatu menjadi antara titik paling penting dalam polemik berkenaan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan aduan parti itu kepada RoS sehingga membawa kepada penggantungan PN tidak wajar dipolitikkan.
Menurutnya, Bersatu membangkitkan beberapa isu termasuk rundingan dengan pihak luar tanpa pengetahuan anggota PN, pelanggaran perkara dasar yang membelakangi parti anggota dan penafian hak Bersatu sebagai anggota gabungan itu.
Turut dipersoalkan ialah tadbir urus PN yang didakwa tidak berlandaskan perlembagaannya sendiri, aspek ketelusan serta prinsip keadilan dan ketidakpatuhan terhadap keputusan dibuat secara musyawarah dalam Majlis Tertinggi (MT).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata tindakan RoS bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan aduan yang diterima.
Beliau berkata, terdapat beberapa kepincangan dalam PN yang menyebabkan penggantungan itu dibuat dan menjangkakan parti-parti komponen gabungan berkenaan menggunakan lambang masing-masing jika penggantungan berterusan sehingga PRN Melaka.
Pada masa sama, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menuntut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan secara terbuka sama ada wujud sebarang arahan pihak kerajaan berhubung tindakan RoS itu.
Persoalan paling segera kini ialah sama ada PRN Melaka akan berlangsung tanpa logo PN.
Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran berkata, perintah penggantungan semua kegiatan PN berpotensi memberi implikasi langsung terhadap penyertaan gabungan itu pada PRN Melaka, khususnya penggunaan nama dan lambang PN.
**media[3658212]**
“Sepanjang tempoh penggantungan, PN tidak boleh menjalankan aktiviti rasmi termasuk aktiviti politik.
“Dalam konteks PRN Melaka, implikasinya ialah PN berkemungkinan tidak boleh menggunakan nama dan lambang PN untuk bertanding sekiranya penggantungan itu masih berkuat kuasa ketika proses pilihan raya berlangsung,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu juga boleh menjejaskan penggunaan dana, bendera, mesyuarat serta urusan rasmi berkaitan pilihan raya.
Katanya, rundingan pembahagian kerusi mungkin masih boleh berlaku secara tidak rasmi antara parti, tetapi timbul persoalan siapa yang boleh mengeluarkan watikah atau menggunakan lambang PN secara sah.
“Jika penggantungan masih berjalan ketika penamaan calon, kemungkinan parti komponen terpaksa menggunakan lambang parti masing-masing, tertakluk kepada undang-undang pilihan raya dan keputusan pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar pula berpandangan persepsi terhadap RoS sebagai agensi kerajaan sukar dielakkan apabila tindakan itu berlaku ketika PRN Melaka semakin hampir.
**media[3658218]**
Namun beliau berkata, RoS perlu diberi ruang menjalankan siasatan berdasarkan aduan diterima dengan syarat proses tersebut dilaksanakan secara adil, telus dan memberi ruang kepada semua pihak menjelaskan kedudukan mereka.
“Persepsi bahawa tindakan ini mempunyai kaitan politik memang akan wujud, terutama apabila ia berlaku dalam musim pilihan raya.
“Namun, dari sudut proses pentadbiran, kita perlu beri ruang kepada RoS menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima,” katanya.
Menurut Wan Ahmad, jika PN tidak berpuas hati dengan keputusan akhir RoS, gabungan itu mempunyai saluran rayuan kepada Menteri Dalam Negeri atau boleh mencabar keputusan menerusi proses perundangan yang tersedia.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub mendakwa PN sudah menjangkakan kemungkinan berdepan tindakan penggantungan sebelum perintah RoS dikeluarkan.
Beliau berkata, PN kini perlu meneliti isu itu dari sudut perundangan serta menyediakan strategi alternatif sekiranya tidak dapat menggunakan logo gabungan pada PRN Melaka.
**media[3658209]**
Menurutnya, Parti Wawasan Negara (Wawasan) belum mahu membuat keputusan terburu-buru dan masih menunggu perkembangan lanjut daripada kepimpinan PN.
Katanya, kesan sekiranya logo PN tidak dapat digunakan akan dirasai semua parti komponen termasuk Bersatu kerana pengundi sudah mengenali dan selesa dengan lambang gabungan tersebut.
Justeru, penggantungan PN belum tentu memberikan kelebihan politik kepada mana-mana blok. Ia boleh menjejaskan platform bersama PN, tetapi pada masa sama membuka ruang kepada susunan dan rundingan baharu antara parti-parti yang selama ini bergerak di bawah atau di sekitar gabungan berkenaan.
BERSATU – 2018
ISU: Gagal menyerahkan sepenuhnya dokumen diminta RoS.
TINDAKAN: Digantung sementara 30 hari pada 5 April; aktiviti dan penggunaan logo dilarang.
KEPUTUSAN: Penggantungan ditarik balik 16 Mei selepas dokumen dikemukakan.
PAKATAN HARAPAN – 2018
ISU: Pendaftaran gabungan belum diluluskan menjelang PRU14.
KESAN: Tidak dapat menggunakan logo PH; parti komponen menggunakan logo PKR sebagai simbol bersama di kebanyakan kerusi.
KEPUTUSAN: PH didaftarkan pada
16 Mei 2018.
UMNO – 2018
ISU: Pertikaian tempoh pemilihan parti.
TINDAKAN: RoS membenarkan lanjutan tempoh pemilihan.
KEPUTUSAN: Cabaran 16 bekas ahli ditolak mahkamah; pendaftaran UMNO kekal.
MyPPP – 2019
ISU: Pertikaian kepimpinan.
TINDAKAN: Pendaftaran dibatalkan RoS.
KEPUTUSAN: Rayuan kepada KDN berjaya; pendaftaran dipulihkan pada 2023.