Tindakan RoS susulan aduan pelanggaran Perlembagaan PN - Mohamed Azmin

SHAH ALAM – Aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 11 Ogos lalu berhubung dakwaan pelanggaran Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) menjadi asas kepada tindakan penggantungan semua kegiatan gabungan tersebut.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah menerima salinan perintah penggantungan yang dikeluarkan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) dan berkuat kuasa mulai 23 September lalu.

“RoS turut mengeluarkan notis bertarikh 22 September di bawah Subseksyen 13(2) akta yang sama bagi meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan oleh Bersatu.

“Aduan tersebut antara lain menyentuh dakwaan bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Julai 2026 serta isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan PN,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, RoS menjelaskan bahawa pendaftaran PN tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan tersebut dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.

Dalam kenyataannya pada Khamis, RoS memaklumkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 telah dikeluarkan dan PN diberikan tempoh yang munasabah untuk mengemukakan penjelasan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin mendakwa tindakan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri mesyuarat, menyuarakan pandangan serta mengundi dalam Majlis Tertinggi PN merupakan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan PN.

Beliau berkata, Bersatu turut mengemukakan aduan berhubung kewujudan ‘kuasa veto’ yang didakwa mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi PN.

“Individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN sering mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan tekanan untuk melucutkan atau menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah dalam gabungan tersebut.

“Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan PN,” katanya.

Menurut beliau, RoS sebelum ini telah mengesahkan menerima aduan yang dikemukakan Bersatu dan memaklumkan bahawa perkara itu sedang diteliti berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, peraturan berkaitan serta Perlembagaan PN.

Katanya, wakil Bersatu turut hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat RoS di Putrajaya pada 18 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menggesa kepimpinan tertinggi dan pengurusan PN supaya tidak mengeluarkan tuduhan tidak berasas terhadap RoS.

“RoS telah beberapa kali mengeluarkan peringatan secara bertulis kepada PN supaya semua aktiviti pertubuhan dijalankan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PN.

“Bersatu akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara Perlembagaan PN serta memastikan perjalanan parti ini kekal telus, berintegriti dan menjunjung prinsip kebertanggungjawaban,” katanya.