Kerugian buat DAP, Kerajaan Perpaduan - Penganalisis politik

SHAH ALAM - Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan satu kerugian besar buat DAP dan Kerajaan Perpaduan memandangkan beliau merupakan pemimpin kanan yang berprestasi tinggi.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, ia dibuktikan apabila banyak reformasi dilaksanakan Ahli Parlimen Seremban itu sepanjang memegang jawatan berkenaan.

“Sepanjang perkhidmatannya, beliau berjaya melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam sektor pengangkutan awam, dasar pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan dan penambahbaikan prasarana logistik negara dengan cemerlang.

“Kehilangan beliau dalam portfolio ini akan mengurangkan wakil yang berwibawa parti dalam pentadbiran tertinggi eksekutif,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Anthony yang mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, ditanya kemungkinan berlaku rombakan besar-besaran dalam Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Syahruddin menolak perkara tersebut.

Menurutnya, kekosongan jawatan Menteri pengangkutan secara automatik menuntut tindakan Anwar membuat penyesuaian semula Kabinet, namun ia tidak semestinya membawa kepada rombakan besar dalam kerajaan.

“PMX pula berkemungkinan hanya mengosongkan atau mengisikan portfolio berkenaan dengan calon DAP lain demi mengekalkan formula kuota parti gabungan yang stabil.

“Walau bagaimanapun, sekiranya peletakan jawatan ini mencetuskan pertukaran portfolio antara parti-parti komponen utama, rombakan yang lebih menyeluruh mungkin berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai calon daripada DAP yang dilihat layak untuk menggantikan Anthony, beliau menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau menyenaraikan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong

“Perubahan pada portfolio sepenting Kementerian Pengangkutan berkemungkinan besar akan mendorong DAP untuk merombak susunan kedudukan menteri dan timbalan menteri parti itu dalam Kabinet.

“Langkah rombakan dalaman ini pula penting bagi memastikan imbangan kepimpinan, pengagihan portfolio yang cekap serta kesinambungan dasar kementerian,” kata beliau.