SHAH ALAM – Selepas gagal memenangi satu pun daripada 24 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bulan lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berdepan persoalan lebih besar menjelang PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) iaitu di manakah ‘rumah baharu’ parti itu?
Isyarat terbaharu menunjukkan Bersatu bukan sahaja memandang Pakatan Harapan (PH), malah mula membuka pintu kepada Barisan Nasional (BN), ketika hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN) semakin tidak menentu.
Pada Rabu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu tidak terkejut sekiranya Bersatu mencari rakan baharu malah menyifatkan tindakan parti tersebut secara teknikal menunjukkan ia tidak berhasrat terus berada dalam PN.
Tidak lama kemudian, Armada Bersatu Melaka pula mencadangkan parti itu membuka rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN dengan syarat dua kerusi dimenanginya pada 2021, Bemban dan Sungai Udang, dipertahankan.
Perkembangan itu hadir selepas beberapa episod ‘kemesraan’ antara Bersatu dan PH khususnya di Selangor.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini menggunakan nada mesra terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang Dewan Undangan Negeri, manakala Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham secara terbuka tidak menolak kemungkinan ADUN parti itu menyokong pentadbiran Amirudin sekiranya diperlukan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyambut baik beberapa langkah kerajaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada rundingan rasmi PH-Bersatu.
Sebaliknya, trek PH-BN di Melaka lebih jelas apabila Anwar memberi mandat kepada Amirudin memperincikan bentuk kerjasama termasuk agihan kerusi, dengan hala tujunya dijangka diketahui sebelum 16 September.
Keadaan itu meletakkan Bersatu dalam dilema - kembali mendekati PH yang pernah ditinggalkannya menerusi episod Langkah Sheraton, mencari persefahaman dengan BN atau cuba mempertahankan kedudukannya dalam PN.
Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, Bersatu perlu lebih proaktif mencari jajaran baharu susulan kedudukannya dalam PN yang semakin tidak menentu.
Menurutnya, kenyataan Takiyuddin memberi gambaran Bersatu sedang mencari ruang politik baharu.
“Dari situ, bacaan yang kita boleh lihat adalah Bersatu memberitahu bahawa mereka bersedia membentuk pakatan atau jajaran baharu dengan mana-mana, di mana ketika ini mungkin Pakatan Harapan dilihat lebih sesuai.
“Kalau kita tengok keperluan PH mencari satu parti yang mampu tarik kembali undi Melayu kepada mereka, setelah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah masih lagi tidak berupaya untuk menarik undi tersebut, jadi mungkin Bersatu inilah yang nampak sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, Mujibu berkata, persoalan besar ialah sejauh mana Muhyiddin bersedia membuka semula ruang kerjasama dengan Anwar selepas sejarah perseteruan kedua-dua pemimpin itu.
Beliau turut melihat Selangor sebagai medan penting sekiranya jajaran PH-Bersatu menjadi kenyataan kerana Bersatu masih mempunyai kedudukan di beberapa kawasan strategik.
Namun katanya, PH juga tidak boleh mengetepikan hubungan dengan BN khususnya menjelang PRN Melaka.
“Namun jika PH terlalu bergantung kepada BN, ruang untuk membina jajaran baharu bersama Bersatu mungkin semakin mengecil.
“Pada saya, kaedah terbaik mungkin dalam konteks ini adalah perundingan. PH juga semakin kuat untuk berunding dengan BN, terutamanya dalam konteks Melaka dan tidak mustahil mungkin berlaku di peringkat Persekutuan,” katanya.
**media[3634721]**
Tewas 24 kerusi
Tekanan terhadap Bersatu semakin besar selepas PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos apabila parti itu yang bertanding menggunakan lambang sendiri tewas kesemua 24 kerusi, sedangkan BN menang 18, PH 11 dan PN tujuh.
BN dan PN kemudian bergabung membentuk kerajaan negeri dengan 25 kerusi, sekali gus menunjukkan Bersatu boleh tersisih daripada pembentukan kerajaan sekiranya gagal mencari formula kerjasama berkesan.
Bekas Setiausaha Eksekutif BN Pulau Pinang, Azizi Safar berkata, kecenderungan PH mempertahankan hubungan dengan BN pula boleh menyukarkan usaha Bersatu membina jajaran baharu bersama PH.
Menurutnya, sejarah Langkah Sheraton pada 2020 terutama peranan yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin masih meninggalkan luka politik dalam kalangan penyokong PKR.
“Kalau PKR bersetuju bekerjasama dengan Bersatu atau Azmin Ali, apakah penyokong-penyokong PKR boleh melupakan Langkah Sheraton yang menyebabkan mereka kehilangan kerajaan pada 2020?
“Ini luka politik paling dalam sejarah PKR. Saya tidak fikir penyokong PKR boleh terima Mohamed Azmin dan fraksinya dengan tangan terbuka,” katanya.
Azizi berkata, persoalan lebih besar kini ialah kelangsungan Bersatu sendiri selepas parti itu berdepan keretakan hubungan dengan Pas dan gagal membuktikan kekuatan apabila bertanding sendirian di Negeri Sembilan.
“Kalau PH dapat kekal bersama BN, Bersatu ini mungkin boleh ucap selamat tinggal terhadap dunia politik. Ini kerana dengan kedudukan Bersatu yang sangat melemah, parti itu duduk dengan PH pun bermasalah, dengan BN juga bermasalah dan dengan Pas dalam PN pun bermasalah.
“Kalau keadaan ini berterusan, Bersatu mungkin mengulangi nasib Semangat 46 yang lenyap setelah dua siri PRU,” katanya.
Justeru, PRN Melaka bukan lagi sekadar medan menguji formula PH-BN atau kerjasama blok lain, tetapi boleh menjadi ujian penting terhadap nilai tawar Bersatu selepas kegagalan 24 kerusi di Negeri Sembilan.
Jika Bersatu berjaya mendapatkan ‘rumah baharu’, parti itu memperoleh ruang membina semula kedudukannya menuju PRU16.
Namun jika semua pintu gagal dibuka, PRN Melaka boleh menjadi ujian paling getir sama ada Bersatu masih mampu berdiri sendiri atau semakin menghampiri nasib parti serpihan politik terdahulu.