Akmal Saleh hadir Muktamar Pemuda Pas

KOTA BHARU - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hadir ke Muktamar Dewan Pemuda Pas sempena Muktamar Pas Ke-72 di sebuah hotel di sini, pada Khamis.

Beliau yang diiringi Ketua Dewan Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden tiba kira-kira jam 8.30 pagi bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kehadiran Akmal bersama kira-kira 25 delegasi Pemuda UMNO itu turut mendapat penghargaan daripada Afnan Hamimi ketika menyampaikan ucapan pada muktamar berkenaan.

Dalam ucapannya, Afnan Hamimi berkata, penyatuan umat tidak seharusnya sekadar menjadi slogan atau omongan kosong sebaliknya perlu dipimpin melalui tindakan yang ikhlas.

“Kita tidak mahu sekadar bercakap tentang penyatuan, tetapi kita mesti memimpin penyatuan. Orang di bawah dan di luar sedang menunggu kita untuk menarik tangan mereka ke arah penyatuan tersebut.

“Memimpin penyatuan tidak boleh hanya menjadi omong-omong kosong atau slogan yang dipaparkan ketika program, tetapi mesti dimulakan dengan tindakan,” katanya.

**media[3634802]**

Menurut beliau, usaha berkenaan perlu lahir daripada keikhlasan dengan mengenepikan kepentingan kelompok dan meletakkan kepentingan umat mengatasi kepentingan diri.

Beliau berkata, Dewan Pemuda Pas juga akan terus menjadi jambatan kepada usaha penyatuan bersama rakan-rakan pemuda dalam komponen Perikatan Nasional.

“Kita mungkin datang daripada parti yang berbeza, warna yang tidak sama, tetapi kita mempunyai matlamat yang sama dan keserasian yang memudahkan usaha-usaha penyatuan yang sedang dan akan terus kita lakukan,” katanya.

Muktamar Dewan Pemuda Pas berlangsung selama dua hari bermula Rabu manakala majlis perasmiannya disempurnakan Tuan Ibrahim pada Khamis.

Selain Dewan Pemuda, Muktamar Dewan Ulama dan Dewan Muslimat Pas turut dijadual berlangsung pada Khamis masing-masing di Kota Bharu dan Bachok.