Dakwaan ibadah haji ditukar undi, PKR tuntut penjelasan UMNO

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut penjelasan UMNO berhubung dakwaan ibadah haji dijadikan sebagai pertukaran sokongan atau undi dalam pemilihan UMNO Bahagian Jerai, suatu ketika dahulu.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Amidi Abdul Manan berkata, pendedahan tersebut amat mengejutkan dan memerlukan penjelasan.

"Jika perkara ini benar-benar terjadi, jelas menunjukkan ia satu perkara fahsya yang merosakkan kesucian ibadah haji sendiri.

"Wang Tabung Haji bukan sahaja digunakan untuk menyelamatkan projek-projek sakit pihak tertentu tetapi dijadikan bahan rasuah dalam pemilihan UMNO," dakwanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas dan mengandungi 25 syor penambahbaikan.

Susulan itu, Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan laporan berkenaan diterangkan, dibahas dan dibincangkan oleh ahli Parlimen.

Ketika perbahasan RCI itu di Dewan Rakyat pada Selasa, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohamad Suhaimi Abdullah mendakwa lawannya menjadikan ibadah haji sebagai pertukaran sokongan dalam pemilihan UMNO bahagian.

Dalam pada itu Amidi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan menegaskan, isu berkaitan ibadah haji tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut kewangan kerana turut membabitkan hak serta kepentingan rakyat.

"Untuk ibadah haji, ia bukan sahaja melibatkan duit tetapi menzalimi warga Melayu Malaysia yang menunggu giliran selama puluhan tahun.

"Kepentingan orang Melayu bukan hanya bergantung kepada sentimen dan semangat semata-mata, sudah tentu juga tidak boleh dengan hanya menyalahkan bangsa lain," ujarnya.