AYER KEROH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan supaya siling subsidi Program Budi Madani 95 (BUDI95) disemak semula dan dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya mengiktiraf usaha kerajaan Madani dalam memperkukuh kedudukan kewangan negara selain melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, pendekatan subsidi bersasar adalah langkah wajar kerana sumber negara tidak seharusnya memberikan manfaat sama kepada golongan yang mempunyai kemampuan ekonomi berbeza.
Namun katanya, pelaksanaan subsidi bersasar perlu memastikan kelompok yang benar-benar memerlukan tidak terus terhimpit dengan peningkatan kos kehidupan.
“Dalam konteks BUDI95, kerajaan telah menurunkan had kelayakan bulanan daripada 300 liter kepada 200 liter mulai April 2026 sebagai langkah sementara ketika harga minyak dunia meningkat dan kos subsidi melonjak.
“Kita memahami pertimbangan tersebut. Namun, dasar yang baik juga perlu mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri apabila keadaan berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Khamis.
Beliau berkata, sekiranya tekanan harga minyak dunia kembali reda, kedudukan fiskal negara terus mengukuh dan hasil kerajaan memberikan ruang lebih besar, siling subsidi BUDI95 wajar disemak semula.
“Kita mencadangkan supaya siling subsidi BUDI95 dikembalikan sekurang-kurangnya kepada 300 liter sebulan, dengan mekanisme tambahan hingga 350 liter bagi kelompok yang mempunyai keperluan operasi dan mobiliti lebih tinggi, tertakluk kepada pengesahan data dan kriteria yang jelas.
“Kita tidak mencadangkan subsidi tanpa had. Kita juga tidak mencadangkan kerajaan mengabaikan disiplin fiskal.
“Apa yang kita minta ialah sebuah mekanisme yang lebih responsif terhadap keadaan ekonomi rakyat,” katanya.