SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) mencadangkan supaya kajian terperinci mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) turut dilaksanakan selepas tempoh 2014 hingga 2020.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat mengenai tadbir urus selepas tempoh laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH tersebut.
"BN mengambil maklum pembentangan dan perbahasan khas Laporan RCI berhubung pengurusan TH di Dewan Rakyat pada 11 Ogos 2026. Pendirian BN adalah jelas dan konsisten, tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji.
"Perbahasan juga turut mengesahkan bahawa RCI ini memfokuskan pada tempoh 2014 hingga 2020 sahaja. Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji.
"Dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan membentangkan laporan berkenaan RCI terkait TH.
Bagaimanapun ahli parlimen Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) memilih untuk keluar sekali gus memboikot sidang khas tersebut selepas permintaan mereka untuk menangguhkannya atas alasan ia tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditolak.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, dapatan RCI menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang TH perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh institusi tersebut, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek.
Ujarnya, BN juga menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri katanya, turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh.
“Ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu TH.
"Oleh itu, semua pihak perlu mengelakkan (daripada membuat) tuduhan melulu; penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai; dan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab," katanya lagi.