PERSIDANGAN Kebangsaan DAP pada 16 Ogos depan dilihat bukan sekadar medan untuk menentukan sama ada parti itu kekal atau meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Keputusan berkenaan dijangka menjadi titik penting untuk DAP menghitung semula nilai strategik setiap rakan politik yang bakal dibawa ke medan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Parti itu berkembang sejak Barisan Alternatif pada 1999, Pakatan Rakyat pada 2008, Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Bersatu pada 2018, sehinggalah pembentukan Kerajaan Perpaduan merangkumi UMNO sejak 2022 hingga kini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, evolusi kerjasama politik DAP daripada parti pembangkang tegar kepada parti pemerintah hari ini mencerminkan dinamika politik Malaysia.
“Keputusan PRU12 (2008) dan PRU14 (2018) merupakan titik-tolak penting perubahan DAP lebih menjurus daripada parti bantahan (protest party) memfokuskan peranan semak dan imbang kepada sebuah parti mesti memegang kuasa eksekutif untuk melaksanakan agenda dasar atau reformasi.
“Ia bermula dengan matlamat strategik untuk memecahkan monopoli hegemoni atau penguasaan BN kepada apa yang kita nampak seperti membendung gelombang konservatisme kanan yang mulai kelihatan dalam PRU15.
**media[3613467]**
“Itu semua hanyalah pragmatisme berdasarkan hakikat landskap geografi pilihan raya tanah air didominasi kerusi luar bandar dan majoriti Melayu-bumiputera.
“Maknanya, adalah mustahil bagi mana-mana parti berbilang kaum atau bukan Melayu untuk membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa sokongan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, beliau melihat perwakilan DAP pastinya perlu menilai sekurang-kurangnya dua perkara utama iaitu prestasi kerajaan Madani, khususnya sejauh mana kemajuan reformasi institusi yang terkandung dalam manifesto berjaya dilaksanakan.
Kedua ialah nilai strategik kerjasama dengan rakan sedia ada dalam Kerajaan Perpaduan termasuk UMNO atau BN.
Dalam hal ini, beliau melihat DAP pasti mengambil kira keupayaan kerjasama untuk menarik undi Melayu, namun pada masa sama perlu berdepan pergeseran naratif di peringkat akar umbi, khususnya membabitkan barisan kepimpinan muda yang baharu.
Menurut Kuok Tiong, pilihan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan tidak semestinya bermaksud DAP meninggalkan PH.
Katanya, DAP boleh terus kekal bersama PKR dan Amanah dalam PH tetapi melepaskan jawatan Kabinet termasuk kemungkinan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta kerajaan tempatan.
Namun, langkah sedemikian tetap boleh mencetuskan ketidakstabilan politik negara kerana jawatan-jawatan Kabinet yang dikosongkan perlu diisi semula.
Sebaliknya, jika DAP memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan, parti itu perlu memastikan reformasi institusi yang mencerminkan kebertanggungjawaban tadbir urus dilaksanakan.
“Jika DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan, langkah itu tidak semestinya meletakkan parti berkenaan sebaris dengan pembangkang yang kini diisi Perikatan Nasional (PN).
“Sebaliknya, DAP berisiko berada dalam posisi terasing (isolated) yang akhirnya mengurangkan keupayaannya mempengaruhi dasar awam,” ujar beliau.
DAP perlu rakan ideologi pelbagai
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berpandangan, dalam konteks rakan politik, DAP memerlukan rakan yang memiliki latar belakang ideologi yang pelbagai.
Katanya, ia tidak hanya terhad kepada PKR dan Amanah, sebaliknya skop itu boleh diperluaskan lagi merangkumi UMNO, Pas dan lain-lain.
Menurutnya, pendekatan berkenaan diperlukan kerana jika DAP memilih untuk berdamping hanya dengan rakan komponen dalam PH, ia akan menyukarkan lagi parti itu membina persepsi ia bukan parti yang bersifat perkauman semata-mata.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan DAP memilih jalan keluar daripada Kerajaan Perpaduan berdasarkan pengalaman sejarah politik parti itu.
“Dalam konteks semasa, DAP walau apa sekalipun bersifat fleksibel, sama ada memegang jawatan dalam kerajaan ataupun tidak, tidak memberikan kesan sama sekali.
“Jika ia bergerak atas kapasiti sebagai pembangkang sekalipun, tetap tidak akan memberikan implikasi yang besar. Jadi apa sahaja yang berlaku pada 16 Ogos nanti, bukanlah sesuatu yang akan memeranjatkan semua pihak,” katanya.