SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) berkuat kuasa pada Rabu dengan diberi tanggungjawab menyelia penyediaan kertas dasar parti itu.
Dalam kenyataan bersama Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab memaklumkan, Wong Chen telah membuat permohonan keahlian secara dalam talian dan akan diproses mengikut peraturan keahlian parti.
Menurut mereka, Wong Chen yang menjadi ahli Parlimen sejak 2013 akan bertanggungjawab menyelia persediaan kertas-kertas dasar Bersama.
“Menjelang Hari Merdeka 2026, Bersama akan mula menerbitkan satu siri kertas dasar yang dinamakan Kertas Kancil.
“Setiap satu daripada 12 Agenda Bersama akan diperincikan dengan mendalam untuk mencambahkan diskusi dalam masyarakat mengenai langkah, dasar, akta dan bentuk program yang perlu dilaksanakan untuk mencapai keberhasilan dalam Agenda Bersama," katanya.
Pada Isnin lepas, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa jam 5 petang.
Menurut Wong Chen, surat peletakan jawatan berkenaan telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Bersama turut mengumumkan kumpulan pertama tujuh jurucakap parti yang terdiri daripada tokoh berlatar belakang ekonomi, perakaunan, kejuruteraan, media dan guaman.
Mereka ialah Sum Dek Joe, Ibrahim Sani, Wan Zulaika Abdul Kahar, Jhen Pei Seah, Anbarasan Murugesu, Tang Hong Yau dan Rabiatul Adawiyah Sulaiman.
Bersama memaklumkan, ketujuh-tujuh tokoh berkenaan diberi amanah dan mandat untuk mewakili parti dalam bidang dan kumpulan masing-masing.
Selain Jurucakap Bersama, parti itu turut memperkenalkan dua lagi kategori amanah iaitu Calon Bayangan Bersama dan Penggerak Bersama
Menurut mereka, Calon Bayangan Bersama dikenal pasti dan diberi mandat untuk menyusun persediaan parti di kerusi yang bakal ditandingi.
“Penggerak Bersama pula diberi mandat untuk menjadi rujukan ahli-ahli Bersama dan mewakili Bersama dalam mengelolakan pertumbuhan parti,” katanya.
Tambah tiga pemimpin itu, pelantikan berkenaan dibuat ketika parti itu memasuki fasa perkembangan seterusnya yang memerlukan lebih ramai pimpinan pelapis untuk menguruskan dan menggerakkan parti.
“Pengurusan Bersama akan mengumumkan Jurucakap, Calon Bayangan dan Penggerak dari satu masa ke semasa untuk mengukuhkan lapisan pengurusan parti, ke arah satu pemilihan parti untuk memilih barisan kepimpinan baharu parti,” katanya.
Dalam pada itu, proses berkenaan akan dimulakan dengan pindaan Perlembagaan Bersama yang kini sedang diuruskan selari dengan keperluan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan.