Sebuah gunung tidak boleh ada dua ekor harimau - Penganalisis

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh menjadi kuasa dominan secara serentak di Malaysia sekiranya berlaku gelombang besar sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya umum akan datang.

Profesor Dr James Chin daripada Universiti Tasmania, Australia berkata, dalam senario berkenaan, UMNO dijangka muncul sebagai kuasa politik nombor satu manakala Pas berada di kedudukan kedua.

Beliau berkata, situasi itu bagaimanapun tidak menghalang kedua-dua parti berkongsi kuasa dalam kerajaan, namun persoalan utama adalah siapa yang menguasai jawatan Perdana Menteri.

"Tidak mungkin terdapat dua kuasa dominan di Malaysia pada masa yang sama seperti pepatah Cina yang mengatakan tidak mungkin ada dua ekor harimau di atas satu gunung.

"Sekiranya berlaku tsunami Melayu pada pilihan raya umum akan datang, UMNO akan berada di tempat pertama manakala Pas di tempat kedua," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut James, dalam sistem politik Malaysia, jawatan Perdana Menteri merupakan kedudukan paling penting kerana ia mempunyai pengaruh besar terhadap pembahagian kontrak kerajaan serta jaringan naungan politik.

"Dalam situasi antara BN dan PN atau UMNO dan Pas, mereka boleh sahaja membahagikan kementerian-kementerian penting antara satu sama lain.

"Namun, tidak dapat dinafikan bahawa UMNO mahukan kerusi Perdana Menteri dan Pas tidak mampu menghalang UMNO daripada mendapatkan jawatan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan pilihan raya juga tidak semestinya menjadikan kedua-dua parti itu berada pada kedudukan yang sama dari segi pengaruh politik terutama pengundi Melayu di kawasan luar bandar.

James berkata, walaupun Pas berkemungkinan memperoleh lebih banyak kerusi, UMNO atau BN mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.

"Dalam rundingan pembentukan kerajaan, UMNO mempunyai pengalaman yang lebih luas dalam kerajaan Persekutuan berikutan parti itu memerintah kerajaan Persekutuan dari 1957 hingga 2018.

"Pas juga sedar bahawa sekiranya mereka mengambil alih jawatan Perdana Menteri, akan wujud banyak ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Melayu secara keseluruhannya, termasuk bukan Melayu dan Borneo," kata beliau.