SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) masih menunggu penjelasan daripada Setiausaha Agung parti, sama ada sudah mendapat maklum balas atau tidak mengenai kedudukan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, difahamkan Setiausaha Agung PN ada menghantar surat kepada Setiausaha Agung Bersatu berhubung perkara tersebut apabila terdapat laporan yang mengatakan parti itu tidak cukup korum untuk mengadakan mesyuarat.
Menurutnya, Setiausaha Agung PN berhak mendapat maklum balas berhubung kedudukan parti komponen yang lain bukan sahaja Bersatu malah Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) juga.
"Setakat ni saya difahamkan surat yang kita minta penjelasan itu tak dijawab. Bila tak dijawab kita tak tahu kedudukan Bersatu dengan RoS macam mana.
"Kita menganggap bila dia (Bersatu) tak jawab surat dalam tempoh diberi, kita ada risiko kalau sekiranya RoS kata mesyuarat mereka tak sah dan sebagainya. Kita yang dalam gabungan pun ada implikasi undang-undang.
"Jadi kedudukan Bersatu dalam PN mungkin dibincangkan oleh Majlis Tertinggi. Lagipun kita kena dapat penjelasan daripada Setiausaha Agung PN sama ada dia (Bersatu) sudah jawab surat tersebut atau tidak, jadi kita tengok Mesyuarat Majlis Tertinggi nanti," katanya kepada Sinar harian.
Tambah Tuan Ibrahim, pendirian Bersatu juga kurang jelas memandangkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada mengeluarkan kenyataan untuk mewujudkan gabungan baharu.
"Kenyataan itu seolah-olah isyarat mereka tidak akan bersama dengan PN.
"Yang kedua, Muhyiddin pun sebut dia kata PN ini sudah rosak dan dirosakkan oleh Pas. Jadi kalau PN dah rosak, buat apa dia masuk gabungan rosak ini.
"Bila dia tuduh dan kata PN sudah rosak memang dia tak mungkin mahu bersama lagi parti gabungan yang dianggap rosak," ujarnya.