PENAMPANG - Sabah dan Sarawak boleh menjadi menjadi 'king maker' dan menentukan siapa yang akan menerajui kerajaan Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, peranan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut politik semasa, sebaliknya dalam konteks lebih besar berdasarkan kedudukan kedua-dua negeri sebagai antara pembentuk Persekutuan Malaysia.
"Sabah dan Sarawak boleh menjadi 'king maker' dan menentukan siapa Perdana Menteri. Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
"Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini dan boleh menjadi 'king maker' sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini pada Isnin.
Ewon berkata, kekuatan politik Sabah dan Sarawak dalam menentukan hala tuju kerajaan Persekutuan juga tidak wajar dipandang ringan, termasuk dalam soal menentukan kepimpinan negara.
Beliau yang juga Ketua Menteri ditanya mengenai pendirian mengenai kenyataan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shien Gabungan bahawa Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lagi bakal menjadi 'king maker' jika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya lagi, kedudukan itu perlu digunakan bagi memastikan kepentingan Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian dalam pentadbiran Persekutuan, selaras dengan kedudukan kedua-dua negeri dalam pembentukan Malaysia.
"Kalau itu kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak, jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa yang harus berada di dalam kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRU akan datang, Ewon berkata UPKO akan membawa pandangan dan pendirian parti untuk dibincangkan bersama rakan-rakan dalam GRS, khususnya berhubung dua kerusi Parlimen yang disandang parti itu ketika ini.
Beliau berkata, UPKO berharap kerusi Parlimen Tuaran dan Penampang terus diberi ruang kepada parti berkenaan untuk ditandingi, manakala perkara lain berkaitan pembahagian kerusi akan dibincangkan melalui proses dalaman GRS.
"Jika berkaitan kerusi, pasti akan dirunding dengan parti-parti dalam GRS. Tetapi UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan juga Penampang itu haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding.
"Manakala perkara selebihnya itu saya memilih untuk berunding melalui proses dalaman dalam GRS ya. Tapi sudah tentu kita akan ada masanya berunding, berbincang dengan Ketua Menteri dan rakan-rakan dalam GRS," katanya.