Muafakat parti Melayu bukan sekadar strategi pembahagian kerusi - Annuar Musa

SHAH ALAM - Muafakat parti Melayu tidak harus dilihat sekadar strategi pembahagian kerusi untuk memenangi pilihan raya.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ia memerlukan penghayatan dan kefahaman dasar perjuangan yang lebih besar.

"Iaitu tanggungjawab yang di tuntut agama untuk menyatukan ummah,menegakkan agama serta memperjuangkan bangsa dan tanah air.

"Parti parti Melayu Islam yang bersatu padu dan tidak berpecah menjamin kestabilan yang sebenar dan berupaya menaungi serta membela semua bangsa,kaum dan agama dalam negara kita," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini BN dan PN belum memutuskan secara rasmi untuk membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk keputusan berhubung pengagihan kerusi DUN ditandingi.

Menurut Annuar, kebijaksanaan kepimpinan Melayu Islam di tuntut agar agama, bangsa dan tanah air didahulukan dan bukan kepentingan puak atau pribadi.

Ujarnya, Muafakat Nasional menyeru semua pemimpin memberikan keutamaan kepada persefahaman yang sudah berputik, terus berbuah dan berhasil.