KOTA BHARU – Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan disifatkan tidak mewakili pendirian semua institusi pondok di negeri ini, malah kenyataan dikeluarkan pertubuhan berkenaan didakwa boleh mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan guru pondok serta masyarakat kata, Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Mohd Asri Mat Daud.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Kelantan berkata, Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan yang baru ditubuhkan tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berkaitan isu politik semasa tanpa memahami latar belakang dan situasi politik ketika ini.
Menurut beliau, polemik tekanan politik terhadap Melayu Islam bukan perkara baharu, termasuk pendirian pimpinan DAP terhadap isu dan dasar negara yang menyentuh kepentingan Melayu, Islam serta institusi Raja-Raja Melayu seperti yang dinaungi Perlembagaan Persekutuan.
"Pendirian pimpinan DAP khasnya terhadap isu dan dasar negara yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam serta Raja-Raja Melayu yang dinaungi oleh Perlembagaan Persekutuan telah cuba disentuh oleh DAP secara tidak wajar sebagaimana yang disebut oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara panjang lebar melalui bukti yang boleh difahami seluruh rakyat Malaysia tentang peristiwa yang berlaku.
"Beliau (Abdul Hadi) telah berhujah dengan memasukkan latar belakang situasi dan pertimbangan berfakta serta menimbang Maqasid Syariah secara terperinci," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan agenda penjajah bagi menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.
Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan, Zulkarnain Harun menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah dan tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti jelas serta sahih, selain memberi amaran ia berpotensi menyemarakkan prasangka, kebencian dan perpecahan dalam kalangan umat Islam serta masyarakat majmuk
Mohd Asri memberitahu, perkara yang dibangkitkan Presiden Pas itu sepatutnya diteliti secara tabayyun oleh Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan sebelum mengaitkan kenyataan pertubuhan berkenaan dengan penulisan Presiden Pas mengenai agenda DAP.
Beliau turut mendakwa kenyataan itu yang disifatkan tersasar daripada bacaan politik semasa boleh menimbulkan fitnah serta salah faham rakyat terhadap Presiden Pas.