SHAH ALAM- Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin menggesa Datuk Dr Asyraf Wajdi melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) sehingga semua proses siasatan berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) selesai.
Afif berkata, Asyraf Wajdi perlu mengambil tanggungjawab moral atas peranannya sebagai Timbalan Menteri yang berkaitan dengan portfolio Hal Ehwal Agama dalam sebahagian tempoh yang menjadi fokus RCI.
Menurutnya, walaupun sebarang liabiliti individu perlu ditentukan melalui proses undang-undang, Asyraf Wajdi tidak boleh berpura-pura seolah-olah tiada perkara yang berlaku.
"Justeru, demi menjaga integriti institusi awam dan memastikan tiada persepsi wujud campur tangan atau pengaruh terhadap mana-mana siasatan atau keputusan pendakwaan yang mungkin dibuat oleh pihak berkuasa, Asyraf Wajdi wajar melepaskan jawatan tersebut.
"UMNO tidak boleh memilih prinsip mengikut keadaan. Ketika melibatkan lawan politik, mereka begitu lantang menuntut peletakan jawatan atas alasan integriti.
"Kini apabila pemimpin mereka sendiri dikaitkan dengan tempoh pentadbiran yang menjadi subjek dapatan sebuah RCI, prinsip yang sama mesti terpakai. Integriti bukan slogan yang digunakan secara terpilih," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Afif turut menggesa agar bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tampil segera kepada rakyat dan mengesahkan sama ada beliau telah dipanggil atau menerima sebarang notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan susulan terhadap dapatan RCI.
Jelasnya, dakwaan telah ada surat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 2021 yang membebaskan beliau daripada sebarang penglibatan, maka perlu kemukakan surat itu kepada umum.
"Namun begitu, itu tidak cukup untuk membersihkan beliau daripada sebarang dakwaan salahlaku selagi mana siasatan yang telus di laksanakan.
"Rakyat berhak mengetahui status sebenar perkara ini dan sebarang spekulasi hanya boleh dihentikan melalui penjelasan terbuka daripada beliau sendiri dan proses siasatan yang bebas dan bersih," katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, SPRM dan Jabatan Peguam Negara mesti menjalankan siasatan dan membuat sebarang keputusan pendakwaan secara bebas, profesional dan tanpa memilih bulu.
Ujarnya, tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang, dan harus diberikan layanan istimewa.
"Pendedahan laporan RCI TH telah mengesahkan bahawa wujud kelemahan serius dalam tadbir urus dan pengurusan institusi yang diamanahkan menjaga simpanan umat Islam.
"Rakyat kini menuntut akauntabiliti, bukannya alasan," katanya.