SEREMBAN - Penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan), Badrul Hisham Shaharin mendakwa sememangnya terdapat usaha daripada pihak luar untuk membawa Pakatan Harapan (PH) menyertai kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard bagaimanapun berkata, ia tidak melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
"Saya tidak nafikan, berdasarkan maklumat yang ada, memang ada usaha daripada pihak di luar kerajaan untuk membawa PH dalam kerajaan negeri semula.
"Namun saya nak ingatkan jangan terpedaya hanya dengan membaca tajuk berita kerana ada media yang melaporkan kemungkinan pembentukan kerajaan bersama PH sehingga telah menimbulkan kekecohan," katanya ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Seremban di sini pada Rabu.
Tegas beliau, BN dan PN tidak akan mengkhianati mandat dan harapan yang telah diberikan rakyat dalam PRN lalu.
Ujarnya, membina sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil menjadi keutamaan gabungan terbabit ketika ini.
"Wawasan Negeri Sembilan sedang mengikuti secara dekat, malah terlibat dalam beberapa peringkat bagi menguruskan pelbagai isu berbangkit khususnya berkenaan dakwaan itu.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan pelbagai pihak yang terlibat dalam mencapai keputusan pilihan raya lalu," katanya.
Justeru kata Chegubard, permasalahan dan kekusutan yang berlaku sebelum ini perlu diselesaikan dalam kematangan sekali gus mengelakkan sebarang perpecahan yang berlaku.
Beliau tidak menafikan kemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membangkitkan proses pembetukan kerajaan negeri terutama mengenai pelantikan Menteri Besar.
Malah katanya, ia timbul apabila PH tewas teruk dalam pilihan raya ini.
"Isu perpecahan antara parti yang membentuk kerajaan itu langsung tidak wujud. Mungkin ada beberapa pihak yang mempertikaikan atau membangkitkan persoalan proses.
"Siapa Menteri Besar kita tidak pertikaikan, malah menyokong dan mendokong seperti mana perjanjian awal kita untuk membentuk kerajaan," katanya.
Untuk rekod, pada PRN Negeri Sembilan, BN menang di 18 kerusi, PH 11 kerusi, manakala PN di tujuh kerusi