PRN Melaka: BN-PN diramal bahagi kerusi ikut kawasan kekuatan

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) di sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memandangkan BN mempunyai rekod kemenangan 21 kerusi dan masih menjadi kuasa utama kerajaan negeri Melaka.

Bagaimanapun penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, namun sukar untuk PN menyerahkan hampir atau kesemua kerusi tanpa mendapat ruang yang munasabah.

Menurutnya, PN mungkin akan menuntut untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini dan beberapa kerusi Melayu yang mempunyai pertindihan dengan kawasan Parlimen dimenangi Pas dan Bersatu.

"Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas memenangi Tangga Batu dan Jasin, manakala Bersatu memenangi Masjid Tanah. Maka, bentuk kerjasama yang lebih munasabah ialah BN menjadi peneraju utama kempen negeri, manakala PN diberikan beberapa kerusi terpilih yang benar-benar berpotensi dimenanginya.

"Di kerusi lain, PN memberikan sokongan terbuka kepada calon BN, menggerakkan jentera dan membantu pemindahan undi penyokong Pas dan Bersatu. Malah, tidak mustahil berlaku pertukaran kepentingan antara dua peringkat.

"PN bertolak ansur memberikan lebih banyak kerusi DUN kepada BN, tetapi kedudukannya di kerusi Parlimen Melaka dihormati dalam rundingan menghadapi PRU16. Ini mungkin antara maksud 'cara lain' yang disebut Abdul Hadi," ujarnya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama politik antara PN dan BN di PRN Melaka mungkin lain atau berbeza daripada di Johor dan Negeri Sembilan.

Tambah Awang Azman, dengan kata lain, kerjasama itu mungkin bukan pembahagian sama rata, tetapi pembahagian berdasarkan kawasan kekuatan masing-masing.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berpendapat, bentuk kerjasama berbeza yang diunjurkan berkemungkinan besar merujuk kepada model perkongsian kerusi yang lebih fleksibel.

Jelasnya, ia seperti pengagihan mengikut keutamaan kawasan majoriti Melayu atau perjanjian tidak bertanding di kerusi marginal dan bukannya pelepasan untuk memberi laluan secara mutlak.

"Pas dan PN akan berusaha mempertahankan wilayah pengaruh mereka bagi memastikan pangkalan pengundi tidak terhakis, sambil membina formula sokongan bersyarat yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak tanpa mengorbankan identiti dan dominasi politik masing-masing," ujarnya.

Beliau berpendapat, sejarah gabungan atau kerjasama politik di Malaysia membuktikan bahawa kompromi pilihan raya selalunya rapuh sekiranya ia sekadar dibina atas strategi opportunist (menangguk di air keruh atau mengambil kesempatan) politik semata-mata.

"Oleh itu, kompromi di Melaka lebih tepat dilihat sebagai eksperimen strategi pilihan raya yang pragmatik bagi menguji tahap toleransi politik antara PN dan BN dan bukannya bukti mutlak kepada manifestasi persefahaman strategik yang kukuh serta berpanjangan bagi jangka masa panjang," ulasnya.