Empat keputusan dalam satu undi

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mungkin hanya memilih sebuah kerajaan negeri, namun kesannya melangkaui sempadan negeri itu.

Di sebalik kemenangan dan kekalahan calon, keputusan terhasil membawa sekurang-kurangnya empat implikasi utama iaitu menguji keberkesanan formula kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, ia menjadi penentu strategi menuju PRN Melaka, mengubah landskap politik Negeri Sembilan menerusi kekalahan dua tokoh utama Pakatan Harapan (PH) serta memberi isyarat baharu terhadap hubungan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, keputusan di Johor dan Negeri Sembilan memberikan petunjuk awal bahawa kerjasama BN-PN bukan lagi sekadar percubaan politik, sebaliknya sudah mula mendapat penerimaan dalam kalangan pengundi Melayu.

Menurutnya, di Negeri Sembilan, penerimaan itu dapat dilihat dengan lebih jelas kerana tiada pertindihan kerusi antara BN dan PN, sekali gus membolehkan pemindahan undi berlaku dengan lebih tersusun manakala di Johor pula undi penyokong PN berjaya diterjemahkan kepada kemenangan calon BN.

"Pengundi Melayu menerima baik falsafah penyatuan Melayu-Islam dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi kepada BN dan PN.

"Cabaran sebenar sekarang bukan lagi mendapatkan penerimaan pengundi tetapi bagaimana kedua-dua parti boleh duduk semeja, berunding dan mencapai kompromi dalam soal agihan kerusi," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hisommudin, perkembangan itu membentuk gelombang atau referendum dalam kalangan pengundi Melayu yang memberi tekanan kepada kedua-dua parti supaya meneruskan kerjasama pada pilihan raya akan datang.

Beliau melihat PRN Negeri Sembilan sebagai ujian pertama kepada formula BN-PN, namun ujian sebenar hanya akan bermula apabila kedua-dua parti berdepan rundingan yang lebih sukar menjelang PRN Melaka.

Sekiranya rundingan itu gagal katanya, ia bukan sahaja berisiko mencetuskan pertembungan sesama sendiri, malah boleh mengecewakan pengundi Melayu yang sudah memberi isyarat jelas mahukan kerjasama tersebut diteruskan.

"Saya rasa BN dan PN tiada pilihan lain melainkan menyusun gabungan yang lebih baik menuju PRN Melaka.

"Cabaran terbesar Pakatan Harapan pula ialah bagaimana mahu mempertahankan kedudukan ketika gelombang penyatuan Melayu-Islam semakin membesar," ujarnya.

Beliau berkata, isyarat daripada pengundi sudah cukup jelas dan kini terpulang kepada pimpinan parti untuk mencari formula yang boleh diterima kedua-dua pihak, termasuk dalam soal pembahagian kerusi.

Keputusan PRN Negeri Sembilan turut meninggalkan simbolisme politik apabila dua tokoh utama PH tewas di gelanggang masing-masing, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai strategi parti berdepan perubahan corak sokongan pengundi.

Menurut Hisommudin, kekalahan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di Linggi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Chennah berlaku dalam situasi yang berbeza.

Katanya, di Linggi, Aminuddin sebenarnya bertanding di kerusi yang sejak awal tidak memihak kepadanya berdasarkan gabungan kekuatan undi BN dan PN.

Walaupun memasuki gelanggang dengan kelebihan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dan Menteri Besar, faktor itu tidak cukup untuk mengatasi kelebihan 'matematik' pilihan raya yang dimiliki gabungan lawan.

"Kalau ikut kiraan di atas kertas, memang sukar untuk beliau melepasi garis kemenangan. Beliau mengambil langkah berani untuk melawan arus dengan harapan faktor kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Besar dapat membantu, namun ia tidak berlaku," jelasnya.

Di Chennah pula katanya, kekalahan Anthony berpunca daripada perubahan corak sokongan pengundi Melayu.

Sebelum ini, Anthony mendapat sedikit limpahan undi Melayu hasil kerjasama PH dan BN, selain menikmati sokongan hampir maksimum daripada pengundi Cina.

Namun kali ini, konsolidasi undi Melayu kepada gabungan BN-PN menyebabkan kelebihan tersebut hilang, sekali gus memberi manfaat kepada calon MCA.

Hisommudin berkata, kekalahan dua tokoh berkenaan sememangnya membuka ruang kepada penilaian semula dalam parti masing-masing, namun perubahan kepimpinan khususnya di Negeri Sembilan bukanlah isu utama.

"Bagi saya, pertukaran kepimpinan adalah sebahagian daripada strategi parti. Pokok pangkalnya ialah mesti ada perubahan strategi untuk mengekang kemaraan politik identiti yang dibawa oleh BN dan PN," katanya.

Beliau berpandangan, kejayaan formula BN-PN di Johor dan Negeri Sembilan turut memberi dimensi baharu kepada politik nasional.

Menurutnya, konsolidasi undi Melayu antara kedua-dua parti akan memberi cabaran besar kepada PH kerana persaingan di kawasan majoriti Melayu kini tidak lagi melibatkan pertandingan sesama BN dan PN.

Beliau berkata, perkembangan itu memberi implikasi kepada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung yang majoritinya terdiri daripada kawasan Melayu dan campuran Melayu.

Berdasarkan unjuran semasa, banyak kerusi yang kini dimiliki PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) berada dalam keadaan lebih mencabar sekiranya kerjasama BN-PN diteruskan.

Namun, beliau berpandangan kesan paling hampir bukanlah terhadap PRU16, sebaliknya terhadap hubungan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, jika BN memilih untuk menilai semula kedudukannya dalam kerajaan ketika membawa naratif menolak DAP dan menewaskan PH, keadaan itu boleh memberi tekanan kepada kestabilan politik negara. Situasi tersebut juga berpotensi meningkatkan suhu politik serta mempengaruhi pendirian blok Borneo terhadap kerajaan.

"Kalau Perdana Menteri tidak mampu meredakan keadaan dengan baik dan tiada penyelesaian dalam tempoh terdekat, tidak mustahil pembubaran Parlimen menjadi pilihan," katanya.