‘Mereka sukar muhasabah, terus salahkan pengundi’ – Ahmad Fadhli bidas Mujahid

SHAH ALAM – Pas membidas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa pengundi di Negeri Sembilan lebih memilih emosi dan sentimen kaum berbanding prestasi yang ditunjukkan kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti berkenaan tidak bermuhasabah sebaliknya terus menuding jari kepada pegundi.

“Seperti dijangka, mereka sukar bermuhabasah bahkan terus menyalahkan pengundi. Teruskanlah, ia akan lebih memudahkan kami untuk melangkah ke depan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Mujahid turut mendakwa kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan politik identiti berasaskan kaum berjaya mengatasi politik nilai yang merentasi kaum dan agama dibawa PH.

Menurutnya, pengundi Negeri Sembilan memilih emosi dan sentimen kaum dari prestasi dan pencapaian sebagai tanda aras sokongan mereka.

PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN muncul sebagai parti terbesar dengan memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi dan PH meraih 11 kerusi.