PH Pulau Pinang bincang kedudukan BN Sabtu ini

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan membincangkan kedudukan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan negeri pada mesyuarat yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos ini susulan perkembangan politik semasa.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini belum ada sebarang ketetapan dibuat berhubung kedudukan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana perkara itu masih belum dibincangkan secara rasmi di peringkat PH Pulau Pinang.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembentangan laporan daripada jawatankuasa kecil yang ditubuhkan bagi menyelaras persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN) selain dijangka menyentuh beberapa isu semasa termasuk hubungan kerjasama dengan BN.

“Semalam saya telah umumkan PH Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat pada 8 Ogos bagi menerima laporan daripada jawatankuasa kecil untuk menggembleng persiapan menghadapi PRU atau PRN.

“Setakat ini kita belum membincangkan isu ini, namun saya percaya soal kedudukan UMNO atau BN di Pulau Pinang akan turut dibawa dalam perbincangan,” katanya ketika sidang akhbar di pejabatnya, di sini pada Isnin.

Terdahulu, BN memperoleh 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan ke-16, yang berlangsung pada Sabtu.

Sementara PH mpula memenangi 11 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.

Sebelum itu, dalam PRN Johor pada Julai lalu, BN memenangi 48 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala lapan kerusi lagi berpihak kepada PH.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, prestasi parti-parti komponen PH selain DAP turut akan dinilai dalam mesyuarat tersebut.

“Saya cuma bercakap sebagai seorang pemimpin DAP. Keputusan pilihan raya menunjukkan rakan-rakan kita tidak memperoleh banyak kerusi dan perkara itu juga akan dibincangkan,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan kerajaan negeri sekiranya PRU atau PRN diadakan dalam masa terdekat, Kon Yeow berkata, perkembangan politik yang sentiasa berubah memerlukan semua pihak bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan.

“Politik berubah setiap hari, jadi kita perlu menimbang semua kemungkinan. Jika keadaan berubah, kita perlu memikirkan apakah langkah yang terbaik.

“Apa pun, kita serahkan kepada pucuk pimpinan PH Pulau Pinang dan PH pusat untuk menentukan hala tuju. Saya sendiri tidak boleh membuat keputusan itu,” katanya.

Untuk rekod, pentadbiran Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang ketika ini turut melibatkan penyertaan seorang wakil UMNO dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan.