PH Pulau Pinang kekal tolak politik perkauman, identiti

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menegaskan gabungan itu tidak akan menjadikan isu perkauman atau politik berasaskan identiti sebagai strategi untuk mempertahankan pentadbiran negeri menjelang pilihan raya akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, gabungan tersebut akan terus meraih kepercayaan rakyat menerusi pencapaian pentadbiran kerajaan negeri serta pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, pendekatan berkenaan selaras dengan prinsip perjuangan PH yang mengutamakan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat tanpa membezakan kaum, agama atau latar belakang.

Beliau berkata, rekod prestasi kerajaan negeri akan terus dijadikan sandaran utama dalam usaha memperoleh semula mandat daripada pengundi.

“Kita akan meneruskan agenda pembangunan Pulau Pinang seperti yang dilaksanakan selama ini.

“Kerajaan negeri sentiasa mengamalkan pentadbiran yang inklusif dengan memastikan manfaat pembangunan serta kebajikan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini pada Isnin.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa politik identiti dan sentimen perkauman menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sehingga menyaksikan kemenangan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menambah, setiap gabungan politik mempunyai pendekatan tersendiri untuk menarik sokongan pengundi namun keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat menerusi proses demokrasi.

Jelasnya, PH tidak bercadang mengubah prinsip perjuangannya semata-mata bagi menyaingi strategi pihak lawan yang menggunakan sentimen kaum atau identiti.

“Mereka bebas menggunakan apa juga strategi termasuk di Pulau Pinang. Akhirnya, rakyat yang akan membuat keputusan.

“Kita berharap pengundi daripada semua kaum dan agama akan menilai prestasi kerajaan negeri sebelum memberikan mandat pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perjuangan PH sejak awal lagi berteraskan usaha memperoleh sokongan rakyat melalui prestasi pentadbiran, bukannya memainkan sentimen yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Itulah prinsip yang kita pegang dan kita akan terus berusaha mendapatkan sokongan rakyat berdasarkan rekod serta pencapaian yang telah ditunjukkan,” katanya.