Warisan nafi kenyataan tular tarik diri daripada Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial berhubung pengumuman penarikan diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua Jr berkata, kenyataan tersebut merupakan satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan dan memburukkan Warisan.

"Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen Warisan seolah-olah ia kenyataan rasmi daripada Setiausaha Agung," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, tular di media sosial satu kenyataan media dua muka surat yang didakwa dikeluarkan oleh Loretto, kononnya Warisan telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan selepas melalui pertimbangan teliti serta perbincangan di semua peringkat kepimpinan parti dan akar umbi.