JOHOR BAHRU - Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu didakwa berpunca daripada tsunami Melayu yang menolak gabungan berkenaan.
Tiga edisi PRN termasuk di Negeri Sembilan, memberi indikasi jelas sokongan Melayu semakin meningkat terutama kepada Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kebangkitan tsunami Melayu itu jelas dibuktikan apabila semua calon Melayu yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tewas.
Menurutnya, pengundi Melayu kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, sekali gus menghalang PH membentuk kerajaan negeri untuk penggal berikutnya.
"Inilah perkara yang PH perlu sedar dan ambil tahu bahawa kesedaran pengundi Melayu memuncak bermula PRN Johor yang mana mereka mahukan undi Melayu ini jangan berpecah.
“Mereka belajar daripada pengundi Cina dan memerhatikan bagaimana masyarakat Cina mengundi penuh strategik sehinggakan tidak mengundi MCA sebaliknya memberi tumpuan kepada DAP,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sebuah sampan kepada sukarelawan skuad bencana dan minum pagi bersama-sama komuniti flat Taman Molek di sini pada Isnin.
**media[3603880]**
Hassan berkata, kempen PH yang menekankan aspek prestasi ekonomi, tatakelola dan perancangan kerajaan PH Negeri Sembilan tidak meninggalkan kesan.
Menurutnya, isu itu menjadi perkara kedua dan ketiga kerana keutamaan diberikan kepada undi yang tertumpu kepada satu blok sahaja.
“Sentimen penyatuan Melayu tidak terlawan meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir berkempen dan membawakan isu nasional seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
“Jadi, orang Melayu tolak kempen yang mengemukakan laporan RCI Tabung Haji, bukannya tidak penting tetapi ditangguhkan seketika sebab mahu tukar kerajaan,” ujarnya.
Justeru menurut Hassan, kesedaran itu wajar dihormati PH terutama PKR berikutan sokongan Melayu yang memuncak kepada BN dan PH perlu meneliti semula untuk kembali mengambil hati pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU16) nanti.
Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, PH menang 11 kerusi iaitu sembilan DAP manakala dua lagi PKR sementara Barisan Nasional (BN) 18 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Sementara itu, PRN Johor menyaksikan BN mendominasi 48 kerusi manakala PH hanya lapan dan PRN Sabah menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) dan BN memenangi kerusi dipertandingkan.