TAMPIN – Barisan Nasional (BN) menerusi calon MCA, Koh Kim Swee berjaya mencipta kejutan apabila menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah yang menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) selama empat penggal.
Kim Swee, 55, memperoleh 9,779 undi untuk menewaskan penyandang daripada DAP, S Veerapan yang meraih 9,335 undi sekali gus menang dengan majoriti 444 undi.
Keputusan itu menyaksikan perubahan ketara berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 apabila Veerapan mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 5,950 undi.
Menurut Kim Swee, kemenangan itu amat bermakna selepas beliau tewas ketika bertanding di kerusi sama pada 2018 namun tidak pernah berhenti berkhidmat kepada masyarakat.
"Saya memang gembira. Saya pernah bertanding pada 2018 ketika tsunami politik dan kalah, tetapi saya tidak pernah tinggalkan kawasan ini. Sebelum bertanding lagi saya sudah berkhidmat hampir 10 tahun dengan masyarakat.
"Mungkin rakyat nampak saya tidak pernah berhenti membantu mereka dan itu yang memberi keyakinan kepada pengundi," katanya ketika ditemui di Kampung Baru Tampin, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, perubahan sokongan pengundi daripada semua kaum turut menyumbang kepada kejayaan BN merampas kerusi berkenaan.
"Di kawasan majoriti pengundi Melayu saya menang dengan besar. Di kawasan pengundi Cina pula sebelum ini saya pernah kalah lebih 200 undi, tetapi kali ini jurangnya semakin kecil, ada tempat sekitar 40 hingga 100 undi sahaja.
"Saya berterima kasih kepada semua pengundi tanpa mengira kaum yang memberi kepercayaan kepada saya," katanya.
Mengulas mengenai perancangan selepas dipilih sebagai wakil rakyat, Kim Swee berkata, keutamaannya adalah melaksanakan aku janji terutama membabitkan kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi.
"Saya mahu memastikan pusat khidmat beroperasi dengan baik serta menyelesaikan isu-isu kecil yang dihadapi penduduk dalam tempoh 100 hari pertama. Kita akan lihat sendiri kesusahan rakyat dan berkhidmat sebaik mungkin," katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee yang juga Setiausaha MCA Negeri Sembilan dan Ketua MCA Bahagian Tampin berkata, kemenangan tersebut diharap menjadi pemangkin untuk parti terus memperkukuh sokongan rakyat menerusi khidmat yang berterusan.
-tamat-