BN 'tikam' rakan Kerajaan Perpaduan di PRN Negeri Sembilan - Mujahid

PUTRAJAYA – BN didakwa telah 'menikam' rakan dalam Kerajaan Perpaduan apabila bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sehingga menyebabkan kerajaan negeri yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan itu bukan sahaja menjejaskan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, malah mengelirukan rakyat apabila BN yang merupakan sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan menggunakan kedudukan rasmi untuk berkempen menentang PH di negeri berkenaan.

"Mesej politik kepada rakyat menjadi lebih keliru apabila BN yang merupakan sebahagian komponen Kerajaan Perpaduan telah bersekongkol dengan pembangkang daripada PN tetapi menggunakan kelebihan kedudukan mereka sebagai menteri dan lain-lain kedudukan rasmi untuk berkempen di Negeri Sembilan.

"Sikap BN di Negeri Sembilan dikesali atas perbuatan 'menikam' rakan terang-terangan dengan membahagikan kerusi sesama PN untuk mengalahkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dibentuk bersama sebelum PRN," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurut Mujahid, kemenangan gabungan BN-PN turut memberi isyarat bahawa politik berasaskan identiti kaum dan agama telah mengatasi politik nilai yang diperjuangkan PH.

Beliau mendakwa, pengundi di Negeri Sembilan lebih memilih sentimen dan emosi berbanding prestasi serta pencapaian kerajaan sebagai asas sokongan mereka.

Katanya, perkembangan itu membimbangkan kerana berpotensi meruncingkan hubungan antara kaum dan agama sekali gus menjejaskan kestabilan serta perpaduan negara.

"PH harus sedar bahawa cita-cita perpaduan yang diharapkan bersama BN telah dirampas oleh cita-cita ketuanan Melayu-Islam yang dibawa oleh PN dan demi kuasa, BN sanggup meninggalkan cita-cita melihat Malaysia tanpa prejudis dan kebencian kaum-agama," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PH perlu melakukan muhasabah dan membina kekuatan baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk menilai semula pendekatan untuk memperkukuhkan politik nilai merentas kaum dan agama.

PRN Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan BN muncul sebagai parti terbesar apabila memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 13 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi, sekali gus menamatkan pentadbiran PH di negeri itu.

Keputusan itu juga menyaksikan gabungan BN dan PN menguasai 23 daripada 36 kerusi DUN, melepasi ambang majoriti mudah 19 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Keputusan tersebut turut dianggap sebagai antara perubahan politik paling signifikan susulan kemenangan besar BN dalam PRN Johor bulan lalu.