GEORGE TOWN – Dakwaan bahawa kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu menawan Pulau Pinang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak selari dengan realiti demografi serta corak pengundian di negeri ini, menurut Azizi Safar.
Bekas Setiausaha Eksekutif BN Pulau Pinang itu berkata, kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendakwa formula kerjasama BN-PN mampu menguasai seluruh negeri di Semenanjung termasuk Pulau Pinang lebih dilihat sebagai retorik politik berbanding analisis berdasarkan fakta.
Menurutnya, kenyataan itu dibuat susulan kejayaan kerjasama BN-PN pada pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan namun situasi di Pulau Pinang jauh berbeza kerana dipengaruhi komposisi demografi yang unik.
Katanya, berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2025, komposisi warganegara Pulau Pinang terdiri daripada kira-kira 46.2 peratus Bumiputera, 43.7 peratus kaum Cina dan 9.5 peratus kaum India.
“Ini bermakna hampir separuh daripada penduduk dan pengundi di negeri ini adalah masyarakat bukan Melayu, khususnya pengundi Cina yang secara tradisinya memberikan sokongan kukuh kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“Corak itu dapat dilihat dengan jelas pada Pilihan Raya Negeri 2023 apabila DAP dan PH terus menguasai kerusi-kerusi majoriti Cina serta kawasan campuran di bahagian pulau dan Seberang Perai dengan majoriti yang besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Ahmad Fadhli dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Perpaduan yang diterajui PH didakwa kini berada dalam kedudukan semakin mencabar dan hanya menunggu masa sebelum berlaku perubahan landskap politik negara susulan kekalahan terbaharu pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Ahmad Fadhli secara sinis juga berkata, gabungan itu boleh bersedia untuk mengambil kerusi pembangkang apabila Parlimen dibubarkan nanti bagi memberi laluan kepada PRU.
Ini kerana katanya, kerjasama antara BN-PN menjadi 'formula kemenangan' di Negeri Sembilan diyakini mampu memberikan peluang besar kepada gabungan tersebut merampas lebih banyak kerusi Parlimen.
Dalam pada itu, Azizi menambah, PN hanya berjaya memenangi beberapa kawasan majoriti Melayu namun masih gagal menembusi kawasan bandar dan kawasan berbilang kaum yang menjadi kubu kuat DAP.
Menurutnya, kerjasama BN-PN sememangnya berpotensi mengukuhkan sokongan di kawasan majoriti Melayu seperti Penaga, Pinang Tunggal dan Sungai Dua namun bilangan kerusi sedemikian adalah terhad.
Sebaliknya, kata Azizi, banyak kerusi bandar termasuk di kawasan George Town, Paya Terubong, Bayan Baru, Bukit Mertajam dan Butterworth masih dikuasai PH dan DAP dengan majoriti yang sukar digugat.
"Masyarakat bukan Melayu khususnya pengundi Cina masih berhati-hati terhadap Pas dan melihat kerjasama parti itu dalam gabungan politik sebagai faktor yang kurang menarik sokongan mereka.
“Keadaan ini telah berulang kali dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Politik pilihan raya di Malaysia khususnya di Pulau Pinang bukan hanya bergantung kepada semangat atau persepsi sebaliknya dipengaruhi oleh faktor demografi, sejarah sokongan pengundi serta isu-isu tempatan,” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya BN-PN benar-benar mahu mencabar PH di Pulau Pinang, gabungan itu perlu menawarkan pendekatan yang mampu meningkatkan keyakinan pengundi bukan Melayu dan tidak hanya bergantung kepada penyatuan undi Melayu.
"Landskap politik sememangnya boleh berubah dari semasa ke semasa namun perubahan itu perlu berasaskan realiti dan bukannya unjuran semata-mata.
“Selagi tiada perubahan ketara dalam corak sokongan pengundi bukan Melayu, dakwaan bahawa BN-PN mampu menewaskan DAP di Pulau Pinang lebih sesuai dianggap sebagai retorik politik berbanding analisis yang berpijak pada realiti,” katanya.