PH berdepan krisis kepercayaan pengundi Melayu

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bukan sekadar menyaksikan perubahan imbangan kerusi, malah menghantar mesej politik jelas kepada Pakatan Harapan (PH) mengenai cabaran terbesar gabungan itu ketika ini dalam mengembalikan keyakinan pengundi Melayu.

Kemerosotan PH daripada 17 kerusi pada PRN 2023 kepada 11 kerusi kali ini memperlihatkan bahawa strategi kempen dan naratif yang dibawa sepanjang pilihan raya gagal menembusi sentimen pengundi Melayu.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berpandangan, PH perlu melakukan rombakan strategi secara menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan pengundi Melayu selepas gabungan itu mencatat kemerosotan prestasi kali ini.

Beliau berkata, keputusan itu memperlihatkan kesepaduan undi Melayu yang mahu sebuah kerajaan baharu yang diyakini mampu mempertahankan hak dan kedudukan mereka.

"PH perlu memikir kembali bagaimana untuk memberi keyakinan kepada pengundi Melayu-Islam.

"Kempen PH yang memberi fokus kepada isu-isu tertentu seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji gagal mempengaruhi undi Melayu sebaliknya dianggap 'senjata makan tuan'," katanya.

Mengulas kedudukan DAP dalam gabungan PH, Mohd Izani berkata, parti itu kini menjadi liabiliti kepada gabungan berkenaan.

"Politik Melayu masih menjadi teras politik Malaysia, justeru imej DAP perlu dilihat sebagai mesra politik Melayu, bukan sebaliknya.

"Kemerosotan PH bagaimanapun tidak boleh diletakkan di bahu DAP semata-mata, PKR dan Amanah juga perlu memikul tanggungjawab dalam menarik sokongan pengundi Melayu," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, PKR dan Amanah merupakan parti yang mencatatkan prestasi paling mengecewakan dalam gabungan PH.

Beliau berkata, DAP pula kekal sebagai parti terkuat dalam PH dengan memenangi sembilan kerusi walaupun kehilangan Chennah dan Repah.

"PKR hanya memenangi dua kerusi selepas kehilangan Sikamat, Ampangan dan Pilah manakala Amanah gagal memenangi satu pun daripada tujuh kerusi yang ditandingi, termasuk kehilangan Klawang.

"Kekalahan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kepada calon MCA merupakan satu tamparan besar," katanya.

Menurut Mashitah, PH juga perlu mengakui bahawa strategi komunikasi dan kenyataan keras sebahagian pemimpin DAP menyukarkan usaha PKR dan Amanah mendapatkan sokongan Melayu.

Namun katanya, DAP tidak wajar dianggap sebagai liabiliti sepenuhnya kerana parti itu turut memainkan peranan penting mengelakkan PH mengalami kekalahan lebih besar.

"Masalah sebenar bukan kewujudan DAP, tetapi gabungan tiga kelemahan iaitu DAP terlalu dominan dari segi kerusi, PKR dan Amanah terlalu lemah di kawasan Melayu serta sebahagian pemimpin DAP terlalu bebas mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan kesan kepada rakan gabungan," ujarnya.