Gabungan BN, PN berpotensi ubah peta politik - ADUN Permatang

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan membuktikan gabungan atau penyelarasan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi mengubah peta politik negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, corak pengundian di kedua-dua pilihan raya itu menunjukkan pertandingan pelbagai penjuru memberi kelebihan kepada pihak berjaya mengekalkan undi teras, manakala perpecahan undi dalam kalangan parti berkongsi kelompok pengundi sama memberi kesan besar terhadap keputusan.

Menurutnya, di beberapa kawasan, jumlah undi yang diperoleh BN dan PN secara gabungan melebihi undi dimenangi pihak lawan.

"Walaupun setiap pilihan raya mempunyai faktor tempatan yang berbeza dan keputusan tidak boleh disimpulkan hanya melalui penjumlahan undi, corak ini menjadi antara perkara sering dibincangkan oleh penganalisis politik," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Nurul Syazwani menjelaskan, pilihan raya di Johor memberi petunjuk awal mengenai fenomena itu, manakala keputusan di Negeri Sembilan memperkukuhkan perbincangan bahawa perpecahan undi dalam kalangan parti bersaing mendapatkan kelompok pengundi hampir sama boleh memberi kesan besar kepada keputusan keseluruhan.

Beliau berkata, perkembangan itu menjadikan persoalan mengenai kerjasama atau penyelarasan politik semakin relevan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, tumpuan kini bukan lagi sekadar kepada siapa yang bertanding, sebaliknya bagaimana landskap politik boleh berubah sekiranya berlaku kerjasama yang mampu mengelakkan pertandingan sesama sendiri.

"Jika penyelarasan sedemikian berlaku, ia berpotensi mengubah persaingan di banyak kawasan.

"Keputusan pilihan raya di dua negeri ini menambah satu lagi dimensi kepada perbincangan mengenai strategi politik masa depan.

"Ia mengingatkan semua pihak bahawa dalam sistem pilihan raya 'first-past-the-post', penyatuan atau perpecahan undi boleh menjadi faktor yang sangat menentukan," katanya.

Nurul Syazwani turut mendakwa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya sebelum ini tidak semestinya mencerminkan kekuatan sebenar gabungan itu.

"Sebaliknya, kemenangan tersebut turut dipengaruhi perpecahan undi antara BN dan PN di beberapa kawasan.

"Keadaan ini wajar dijadikan iktibar dalam merangka strategi politik menjelang pilihan raya akan datang," tambah beliau.